editor@aatvnews.com

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Draf Rancangan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (Draf PTKL2040) di Institut Latihan DBKL, di sini hari ini.

Majlis Peluncuran Draf PTKL2040 disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

DBKL dalam kenyataan berkata, Draf PTKL 2040 merupakan kerangka utama pelan pembangunan ibu negara yang disediakan bagi menterjemah visi serta matlamat digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober lalu.

Katanya, Draf PTKL 2040 ini secara khusus memberikan penekanan terhadap perancangan cadangan zon guna tanah dan intensiti pembangunan secara spesifik ke atas setiap lot tanah di ibu negara.

“Draf PTKL2040 dibahagikan kepada 2 jilid, yang mana Jilid 1 berkaitan mengurus perancangan bandar manakala Jilid 2 pula menggalakkan pembangunan bandar diatur dengan anjakan kebergantungan perancangan ‘spatial’, daripada berasaskan jalan raya kepada menjadikan jaringan rel sebagai tulang belakang pembangunan Kuala Lumpur.

“Menyentuh kepada Jilid 1 Draf PTKL 2040, laporan ini sudah disediakan dalam tiga bahagian yang mana bahagian pertama memfokuskan kepada empat aspek iaitu pentafsiran zon guna tanah, penentuan alat kawalan intensiti pembangunan, penetapan lapisan kawalan perancangan dan penghuraian insentif perancangan sebagai galakan pembangunan di Kuala Lumpur.

“Empat aspek ini pula seterusnya diterjemahkan dalam bentuk peta zon guna tanah dan peta intensiti pembangunan yang ditunjukkan dalam bahagian kedua Jilid 1.

“Bahagian Ketiga Jilid 1 pula menyentuh secara khusus bentuk atau aktiviti pembangunan yang boleh dibenarkan, tidak dibenarkan atau dibenarkan tetapi tertakluk kepada syarat-syarat perancangan dalam memastikan keharmonian dan keseimbangan sesuatu pembangunan dengan persekitarannya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Jilid 2 Draf PTKL 2040 merupakan kerangka yang disediakan dalam menetapkan justifikasi terhadap kawalan bagi peta zon guna tanah dan intensiti pembangunan dicadangkan.

“Jilid 2 juga dokumen pelan tempatan yang menterjemah enam matlamat yang telah digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Mengambil kira aspek-aspek yang dinyatakan, Draf PTKL 2040 telah menetapkan konsep perancangan ‘spatial’ Kuala Lumpur akan ditunjangi oleh lima teras utama yang terdiri daripada penetapan zon kawalan pembangunan yang memfokuskan kepada bentuk, aktiviti serta intensiti pembangunan; penyusunan taburan pusat-pusat pertumbuhan bandar berdasarkan fungsi dan kapasiti daya tampung infrastruktur; serta pengukuhan kebergantungan kepada jaringan pengangkutan awam terutamanya berasaskan rel dan pembangunan padat di stesen transit.

“Selain itu, pembentukan jaluran hijau dan biru melalui pembentukan nodus ekologi bandar selain pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan khas yang terdiri daripada kawasan berbukit mahupun kawasan berisiko bencana ke arah pembentukan Kuala Lumpur yang lebih berdaya tahan,” katanya.

DBKL berkata, draf PTKL 2040 turut memperkenalkan beberapa elemen baharu berbanding pelan sedia ada, antara elemen baharu yang diperkenalkan adalah penyusunan semula dan penetapan baharu zon guna tanah seperti pengenalan zon khusus bagi kediaman mampu milik.

Selain itu, katanya, pengenalan kepada alat kawalan intensiti berdasarkan nisbah plot bagi semua bentuk pembangunan termasuk kediaman yang merupakan kaedah terbaik dalam membuka ruang kepada pembangunan yang lebih berdaya huni serta mampu berinteraksi dengan keperluan pasaran merentasi masa turut dibawa masuk sebagai elemen baharu di dalam PTKL 2040.

“Elemen baharu yang dibawa masuk di dalam PTKL 2040 adalah dengan mengambil kira peningkatan komposisi warga emas dan penurunan kadar isi rumah menjelang 2040, perubahan demografi penduduk selain faktor harga tanah yang semakin tinggi turut menuntut kepada pembinaan ruang kediaman yang lebih fleksibel.

– BH Online –

Leave a Reply