editor@aatvnews.com

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menghadiri Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok di Istana Negara.

Baginda dijangka berangkat tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10.35 pagi.

Menerusi atucara Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 itu esok, pesawat khas membawa Sultan Ibrahim dijangka tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini kira-kira pukul 9.45 pagi.

Sejurus tiba di TUDM, Subang, Baginda akan melalui Kawalan Kehormat Setempat oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diiringi bacaan doa.

Sultan Ibrahim kemudiannya akan berangkat ke Istana Negara dan dijangka tiba kira-kira pukul 10.35 pagi.

Ketibaan Baginda akan disambut dengan nyanyian lagu Hormat Diraja sebelum berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan oleh ATM.

Sultan Ibrahim kemudiannya berangkat ke Anjung Utama, Istana Negara untuk majlis seterusnya.

Terdahulu, pada 27 Oktober tahun lalu, Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Mesyuarat yang dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

– Kosmo! Online –

Leave a Reply