SELANGOR, 10 FEBRUARI 2024 – YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menyempurnakan Program Lawatan Muhibah YAS Ketua Pengarah ke Pasukan Bomba Sukarela (PBS) SEERS di Rawang, Selangor hari ini bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2024.
Kehadiran YAS Dato’ Ts. Nor Hisham telah disambut dengan meriah oleh Pengerusi PBS SEER, Datuk Dr. Ken KH Foo (Kehormat KB 52) dan diikuti dengan sesi menandatangani plak sempena lawatan serta persembahan tarian singa.
Program lawatan kemudian diteruskan dengan sesi pemeriksaan jentera milik PBS SEERS dan penyampaian taklimat ringkas serta pembentangan perancangan PBS SEER oleh Datuk Dr Ken KH Foo.
YAS Dato’ Ts. Nor Hisham ketika berucap turut merakamkan ucapan terima kasih di atas sokongan yang diberikan kepada program jabatan melalui penubuhan PBS SEERS serta bantuan Perkhidmatan Kebombaan dan Penyelamat yang diberikan.
YAS Dato’ Ts. Nor Hisham juga memaklumkan, program lawatan ini adalah selari dengan Hala Tuju Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibawah Program/ Inisiatif Teras 6 Memberikan Perkhidmatan Kebombaan Yang Responsif dan Efektif. Antaranya, Pemerkasaan Pasukan Bomba Sukarela.
Dalam pada itu, bersempena musim perayaan ini, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham turut berpesan kepada orang ramai agar berhati-hati ketika memandu dan berhenti untuk berehat seketika sekiranya mengantuk. Pastikan mendapat rehat dan tidur yang secukupnya sebelum memulakan
perjalanan yang panjang.
Ujar beliau, orang ramai juga diingatkan untuk mengutamakan langkah keselamatan kebakaran seperti membuat pemeriksaan di sekitar rumah sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung.
“Sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, periksa dahulu semua suis elektrik yang tidak digunakan dan pastikan ia telah ditutup.
“Pastikan juga hos gas memasak telah dicabut dan berada dalam keadaan selamat sebelum ditinggalkan,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia dan ingin berpesan agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan kebakaran dalam usaha untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini ketika musim perayaan ini.