KUALA LUMPUR – Meskipun tidak memegang watak utama, namun kehadiran pelakon legenda Tamil, Rajinikanth begitu dinantikan oleh penonton saat menyaksikan filem Lal Salaam.
Lal Salaam adalah filem Tamil terbaharu yang mula menemui penonton diseluruh pawagam tanah air sejak 9 Februari turut dibintangi oleh Vikranth dan Vishnu Vishal sebagai teraju utama diarahkan oleh anak Rajinikanth sendiri iaitu Aishwarya Rajinikanth.
Dengan alunan muzik yang digubah oleh AR Rahman pastinya ia lebih membuai perasaan saat menyaksikan filem yang berdurasi kira-kira 150 minit mengangkat Rajinikanth sebagai lelaki yang beragama Islam.
Sinonim dengan kisah kekeluargaan, perbalahan itulah juga antara babak yang ditampilkan dalam filem terbitan Lyca Productions ini.
Sukan kriket juga menjadi antara daya tarikan filem ini selain kehidupan penganut Hindu dan Muslim yang tinggal di sebuah perkampungan dan hidup bersama secara harmoni.
Walaupun berbeza agama, mereka tetap hidup bahagia sehinggalah berlaku beberapa perkara yang mencetuskan perbalahan antara penganut Hindu dan Muslim terbabit.
Diedarkan oleh MSK Cinemas Sdn Bhd, Pengarah Urusannya, Saradha Sivalingam Kalai berkata, dia tertarik mengedarkan filem berkenaan di sini kerana yakin dengan kemunculan Rajinikanth.
“Saya yakin Rajinikanth mempunyai ramai peminatnya di Malaysia. Melihat sambutan luar biasa terhadap filem-filemnya yang pernah ditayangkan di Malaysia filem ini pasti akan ‘box-office’.
“Dengan elemen yang cukup seperti kekeluargaan, perbalahan, agama dan sukan filem ini akan menarik penonton filem Tamil khususnya untuk ke panggung menyaksikannya,” katanya.
Ditayangkan di 80 pawagam tanah air, Lal Salaam pastinya akan mengubat rindu peminat setia Rajinikanth untuk ke panggung menyaksikan lakonan mantap dan hebat lelaki berusia 73 tahun itu.