Kuala Lumpur, Malaysia 19 Februari 2024 (Isnin) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menjangkakan potensi jualan usahawan pada Pameran Perdagangan Antarabangsa Gulfood 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu mencapai sekurang-kurangnya RM50 juta.

Pameran perdagangan yang berlangsung dari 19 hingga 23 Februari 2024 di Dubai World Trade Centre telah diketuai oleh YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP dan turut disertai oleh 11 usahawan halal dan 10 usahawan yang berada di dalam ekosistem
keusahawanan francais mewakili pelbagai sektor.

Dalam kenyataan beliau, Dato’ Sri Suriani menyatakan harapannya bahawa penyertaan kali ke tiga KUSKOP di Gulfood 2024 akan membuka peluang perniagaan yang lebih luas bagi usahawan tempatan terutamanya dalam sektor halal di pasaran global. Beliau turut menyoroti potensi pasaran halal global yang dijangka mencapai $9 trilion USD menjelang tahun 2030.

Semasa program ini, beliau juga menyaksikan dua sesi pertukaran Memorandum Persefahaman di antara syarikat pembekal makanan sejuk beku halal, Syarikat Tishas Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Syarikat Happy Market Trading Co. Pte. Ltd Maldives dan syarikat pengeluar pes cili halal, Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Syarikat Imperia Asia F&B Trading Co. L.L.C Malaysia berpangkalan di UAE. Kedua-dua syarikat berkenaan adalah di bawah bimbingan KUSKOP dan sentiasa bergiat cergas di arena antarabangsa.

KUSKOP sentiasa komited untuk menyediakan bantuan sama ada dalam
bentuk bantuan kewangan atau bimbingan latihan untuk usahawan-usahawan tempatan mengembangkan pasaran produk mereka di pasaran global. Selain memanfaatkan peluang untuk membuka akses kepada pasaran tempatan, Dato’ Sri Suriani juga berpeluang untuk bertemu
dengan rakan sejawat daripada Kementerian Ekonomi, UAE, Department of Economy and Tourism Dubai dan Abu Dhabi Department of Economic Development untuk membincangkan peluang kerjasama di antara usahawan Malaysia dan UAE, terutamanya dalam sektor halal.

Penyertaan di Gulfood 2024 merupakan hasil kerjasama antara KUSKOP, MATRADE, SME Bank, SME Corp. Malaysia, dan PERNAS dan beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan.

KUSKOP berharap agar penyertaan ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara serta memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa Malaysia dengan UAE.

Leave a Reply