Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutan, Andre Lai menyeru seluruh rakyat agar menyantuni golongan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum dan agama sempena bulan Ramadan yang akan disambut esok.

Beliau berkata dengan sumbangan yang disalurkan itu, kesusahan golongan yang tidak berkemampuan sekurang-kurangnya dapat diringankan.

“Berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik sememangnya dituntut dalam mana-mana agama kerana dapat menginsafi diri dengan amalan mulia dan bukan hanya pada bulan Ramadan semata-mata.

“Jelas sekali dengan bantuan yang diberikan juga dapat memupuk semangat persaudaraan dan perpaduan antara seluruh rakyat tidak kira di mana saja,” ujarnya.

Umat Islam di negara ini memulakan ibadah puasa esok seperti yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad pada Ahad.

Selain itu, beliau juga menyeru seluruh rakyat tanpa mengira agama agar menghormati umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan nanti sebagai solidariti kepada amal ibadat mereka.

“Aktiviti berpuasa sebenarnya memberi manfaat besar kepada kesihatan tubuh badan setelah 11 bulan menjamu selera dan ia membolehkan sistem dalam badan contohnya pencernaan dibaiki dengan baik.

“Saya juga menggalakkan rakyat agar menginsafi penderitaan penduduk Gaza yang sedang dalam kelaparan dan tiada persediaan menyambut bulan Ramadan,” katanya lagi.

Untuk rekod lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober lalu dan tiada tanda-tanda gencatan senjata akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

LAI CHEN HENG (ANDRE)
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan

Leave a Reply