PETALING JAYA – Anak muda digesa untuk mengambil peluang dengan meneroka peluang dalam program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi merubah kehidupan mereka pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata ini bagi merebut peluang memperolehi tawaran pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata anak muda khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah perlu melibatkan diri dengan TVET atau kemahiran teknikal industri yang menjanjikan masa hadapan yang cerah kepada anak muda Malaysia.

“Saya secara peribadi beritahu untuk golongan berpendapatan rendah, sekarang kerajaan Madani peruntukkan RM6.8 bilion kepada kementerian tertentu untuk laksanakan program TVET.

“Program ini dilaksanakan percuma (latihan). Apa yang mereka (peserta perlu) bayar setahun tak sampai RM1,200. Itu pun ada yang datang ke pejabat Pusat Khidmat DUN Sentosa (untuk dapat bantuan). Kita bantu. Tetapi pastikan pendidikan tenaga mahir sampai untuk anak anak kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan TVET dan Kerjaya Beruniform.

Gunaraj berkata kerajaan sekarang perlukan tenaga mahir.

Beliau berkata jadi tak perlu negara bergantung kepada warga asing.

“Ini satu agenda kerajaan yang cukup baik dan semua kena mainkan peranan untuk pastikan agenda ini berjaya,” katanya.

Dr Gunaraj yang merupakan antara pihak yang menjayakan ekspo berkenaan turut mengucapkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang memberi sokongan padu untuk menjayakan program dua hari berkenaan.

Katanya, beliau teruja dengan 30 sekolah dari seluruh Selangor yang menghantar bas pelajar untuk mengikuti ekspo berkenaan.

“Kehadiran pagi ini lebih 1,200. Untuk dua hari kita jangka lebih 3,000 orang anak muda hadir.

“Saya ucap terima kasih kepada NGO yang hantar pemuda untuk dapat pendedahan pentingnya TVET membentuk tenaga mahir ini,” katanya.

Leave a Reply