SHAH ALAM, 12 Mei 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini menganjurkan program Jelajah Saya Digital (JSD) siri ke lima bagi tahun 2024 bertempat di Pusat Beli belah AEON Mall Shah Alam.
JSD @ Shah Alam diadakan dengan konsep karnival membawa aktiviti interaktif seperti bengkel pengisian literasi digital dan keusahawanan serta pertandingan ‘eSport’ dan ruang pameran dari agensi-agensi kerajaan yang mengenengahkan aspek pendigitalan.
JSD dibawa ke Shah Alam bagi mewujudkan kesedaran rakyat Selangor tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar demi mendepani masa depan digital.
Program ini telah menjelajahi ke 59 lokasi dan berjaya melatih seramai 22,877 orang peserta dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada 2021. Bagi tahun 2024 ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi.
Acara JSD @ Shah Alam telah dirasmikan oleh YB Tuan Dr. Mohammad Fahmi Ngah, EXCO Infrastruktur Digital & Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor. Turut hadir YB Tuan Hj Azli Yusof, Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC.
Program Jelajah ini dimeriahkan dengan pameran daripada agensi kewangan dan usahawan program MDEC. Acara ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 1,000 orang penduduk sekitar, pelajar IPT, dan pelatih institusi kemahiran dan pengunjung pusat beli belah AEON Shah Alam.
“Seiring dengan visi Malaysia MADANI di mana keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya, MDEC akan terus melaksanakan program-program seperti ini agar kemakmuran dan peluang yang dicipta dapat dimanfaatkan oleh lapisan masyarakat tanpa mengira latarbelakang,” kata YB Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi MDEC.
JSD adalah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu, Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil, dan sederhana. Empat teras berkenaan yang bertujuan memperkasakan rakyat berkemahiran digital bertujuan membantu meningkatkan penguasaan teknologi digital dalam kehidupan seharian, menggalakkan daya saing dalam kerjaya bagi menjana pendapatan tambahan termasuk meluaskan perniagaan ke arah digital.
Melalui JSD @ Shah Alam, MDEC membawa program eUsahawan,100 Go Digital dan #mydigitalmaker bertujuan bagi meningkatkan keupayaan usahawan dalam menggunapakai teknologi digital, meningkatkan hasil jualan serta menggalakkan penjanaan pendapatan.
Program Jelajah Saya Digital merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kemahiran digital di kalangan rakyat, termasuk usahawan, dengan mengambil peluang yang ada supaya Rakyat dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara.
Rakan-rakan strategik MDEC untuk JSD iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TM-Unifi Business dan TikTok Shop turut mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini. Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital .