BANTING, 14 Mei 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara
telah merasmikan Majlis Peluncuran Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga sebagai Penggerak Komuniti Progresif bertempat di Dewan Sri Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor. Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,438 Rukun Tetangga (RT) di seluruh Malaysia dengan penambahan sebanyak 93 RT pada tahun 2023 sahaja.

Sejak penubuhan RT pada tahun 1975, peranannya sebagai pemacu agenda
perpaduan dan keselamatan dalam komuniti telah terbukti memberi impak yang
signifikan kepada negara. Pencapaian dan kejayaan RT dapat dilihat bukan sahaja
dalam aspek penyatuan masyarakat, malah RT telah mengorak langkah lebih jauh
ke hadapan terutamanya dalam aspek pembangunan komuniti. Sehingga kini,
terdapat sebanyak 292 RT telah melaksanakan aktiviti ekonomi yang
merangkumi projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan,
minuman, kesihatan, kraftangan, perkhidmatan katering, dan Community
Based Tourism (CBT).

Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif
yang diperkenalkan oleh Kementerian Perpaduan Negara ini bertujuan untuk
meningkatkan peranan RT dalam pembangunan komuniti. Melalui peruntukan
RM20 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Kerajaan berharap agar
RT menjadi pendorong utama dalam menjayakan program komuniti, kesukarelawanan, dan kenegaraan di peringkat akar umbi.

Terdapat sekurang-kurangnya 116 buah RT di seluruh negara telah pun dikenal
pasti untuk dijadikan Model RT Progresif. RT Progresif ini dijangkakan akan memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan (8) bidang tumpuan yang merangkumi
(i) Ekonomi dan Sara Hidup;

(ii) Keselamatan dan Ketahanan Komuniti

(iii) Kepimpinan;

(iv) Kesejahteraan Komuniti;

(v) Pembelajaran Sepanjang Hayat;

(vi) Alam Sekitar;

(vii) Warisan danBudaya; serta

(viii) Daya Cipta.

YB Menteri Perpaduan Negara telah mengumumkan peruntukan sebanyak
RM11,073,309.00 yang difokuskan kepada bidang Ekonomi dan Sara Hidup serta Keselamatan dan Ketahanan Komuniti. Kementerian menumpukan keutamaan kepada bidang ekonomi dan sara hidup khususnya dalam gerak kerja bagi memperkasakan agenda ekonomi komuniti RT. Pelaksanaannya dilihat berupaya meningkatkan produktiviti RT melalui peningkatan pendapatan isirumah dan membantu menangani kos sara hidup yang meningkat.

Melalui jumlah tersebut sebanyak RM992,590.00 diperuntukkan untuk meningkatkan keselamatan dan ketahanan komuniti, termasuk penggantian fasiliti keselamatan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan peruntukan RM713,890.00 untuk 106 kawasan RT, serta pembekalan 3 set Walkie Talkie dengan peruntukan RM278,700.00 untuk 101 kawasan RT bagi kegunaan penyaluran maklumat keselamatan semasa rondaan SRS. Dalam usaha mencapai kawasan komuniti yang lebih aman, RM1,945,620.00 diperuntukkan bagi pembekalan 58 kabin SRS baru dan pembaikan kabin sedia ada di 12 kawasan SRS. Dengan kemudahan tersebut, ia dapat meningkatkan aktiviti rondaan SRS, serta keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan ahli RT, program pembangunan
dan latihan direncanakan dengan peruntukan RM2,612,800.00 yang meliputi kursus-kursus seperti teknologi pertanian, pembangunan produk makanan, dan latihan keusahawanan. Sejumlah RM4,000,000.00 juga turut diperuntukkan untuk Program RT Progresif dalam lima (5) bidang lain. Melalui usaha ini, peranan RT akan diperkasa sebagai penghubung penting dalam komuniti melalui peningkatan keupayaan dan kerjasama strategik.

YB Menteri menyatakan harapan beliau untuk melihat kejayaan sepenuhnya RT Progresif yang akan melaksanakan program-program berorientasikan komuniti berteraskan lapan (8) bidang tumpuan yang berkenaan dalam skala dan capaian yang lebih meluas.

Leave a Reply