PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi meminta penjelasan syarikat induk Facebook, Meta Platforms yang menurunkan hantaran (posting) syarikat media berkaitan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sayap politik Hamas.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dua media melaporkan perkara itu kepada kementeriannya, dengan Meta memberi alasan status itu berkaitan sebuah organisasi yang Meta anggap berbahaya.

Katanya, selepas diteliti, alasan diberikan Meta tidak berasas kerana tiada aspek sebegitu dalam laporan media terbabit.

Bahkan, Meta juga telah menutup satu akaun media sosial milik sebuah portal dalam talian menyebabkan mereka terpaksa membuka akaun baharu.

“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kecam tindakan pihak Meta untuk menurunkan artikel atau posting daripada media.

“Apatah lagi kerana ini adalah pelaporan lawatan rasmi PM ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) telah menghantar surat kepada pihak Meta untuk mendapatkan penjelasan.

“Saya juga akan menghantar surat kepada Meta untuk meminta penjelasan daripada mereka,” katanya.

Fahmi berkata, perkara dilakukan Meta itu secara jelas menunjukkan mereka tidak menghormati kebebasan media dalam menggunakan platform mereka.

“Kita akan adakan pertemuan dengan platform media sosial pada Jun nanti.

“Dalam pertemuan itu nanti, saya akan bangkitkan isu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di bangunan Kementerian Komunikasi, hari ini.

Terdahulu, Anwar membuat pertemuan dengan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar pada Isnin dan mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas.

Pertemuan tertutup antara Anwar dan Haniyeh berlangsung lebih sejam ketika Anwar dalam misi lawatan rasmi ke Qatar.
– max-infos.com –


Leave a Reply