SHAH ALAM, 16 Mei 2024 – YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan Debat Perpaduan Piala Menteri Perpaduan Negara bagi tahun 2024 bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam.

Pada tahun ini, Sekretariat Rukun Negara Universiti Kebangsaan Malaysia (SRN UKM) telah dipilih sebagai tuan rumah, setelah pasukan ini meraih kejayaan sebagai Johan Debat Perpaduan pada tahun 2023.

Mengangkat tema “Menjiwai Rukun Negara”, bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai Rukun Negara dalam kalangan generasi muda. Matlamat utama program ini termasuk membentuk pemikiran holistik mahasiswa, mempromosikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan, memperkuat semangat perpaduan melalui debat, dan meningkatkan pemahaman terhadap kepelbagaian etnik, agama, dan budaya.

YB Menteri Perpaduan menyatakan bahawa Debat Perpaduan ini merupakan platform penting dalam usaha menjayakan Dasar Perpaduan Negara (DPN), yang bertujuan memupuk, mengukuh, dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Pelaksanaan Debat Perpaduan adalah selaras dengan komitmen dan objektif DPN, yang bertujuan memupuk dan mengukuh perpaduan dalam kalangan rakyat. Melalui program ini, diharapkan kita dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan keutuhan dalam aspek kenegaraan dan perpaduan berteraskan penghayatan kepada prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Menurut YB Menteri Perpaduan Negara, Kementeriannya komited meningkatkan
penghayatan Rukun Negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Pelan Tindakan Pendidikan dan Penghayatan Rukun Negara, Syor Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan, Lafaz Ikrar Rukun Negara, Simposium Pendidikan Rukun Negara, serta Konvensyen Sekretariat Rukun Negara. Ia merupakan langkah yang penting dalam memastikan pemahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat.

Beliau mengumumkan bahawa Inisiatif Jelajah Belia Rukun Negara akan digerakkan bermula bulan Julai hingga Disember 2024 di seluruh negara melibatkan 1,200 peserta dengan terdiri aktiviti seperti Bicara Rukun Negara: Menjiwai Rukun Negara, Pemekaan Rukun Negara serta Interaktif dan Inovasi Penghayatan Rukun Negara.

Akhir sekali, beliau berharap agar program ini berjaya menghasilkan idea dan gagasan baharu yang membawa kebaikan kepada negara dan terus bersama-sama melipatgandakan usaha membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian.

Debat Perpaduan ini ditunjangi oleh beberapa rakan strategik yang menjayakan program ini iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semua Institut Pendidikan Tinggi yang terlibat, semua Sekretariat Rukun Negara, Rakan Strategik Perpaduan dan Rakan Media Perpaduan.

Leave a Reply