KUALA LUMPUR – Dalam bayangan krisis hutang yang dahsyat, Nadia (lakonan Ruhainies) dan Faliq (lakonan Aliff Aziz) mendapati diri mereka terperangkap dalam sebuah episod penculikan selama seminggu akibat hutang pasangan masing-masing.
Inilah mesej yang diketengahkan oleh drama Terjerat arahan terkini pengarah berkaliber, Azmi Hatta.
Bakal menemui penonton esok, 21 Jun 2024 di platform iQIYI, Terjerat terlebih dahulu sudah menjadi bualan hangat sehingga ramai peminat drama tempatan tidak sabar untuk menontonnya.
Kini, siri original iQIYI, Terjerat Cinta segera ditayangkan, empat hari selepas Aidiladha atau sambutan Raya Haji.
Apakah yang penonton akan peroleh daripada siri yang bukan hanya dibintangi oleh Alif Aziz dan Ruhainies tetapi juga Fendy Bakry yang sempat mencetuskan kontroversi ini?
Menurut iQIYI, siri ini menjanjikan pengalaman menonton yang penuh emosi dan ketegangan dengan gabungan genre melodrama percintaan dan suspense thriller.
Menariknya, Terjerat turut memaparkan ‘red flags’ yang perlu diketahui oleh wanita apabila berhadapan dengan lelaki.
Azmi Hatta selaku pengarah menyifatkan bahawa lakonan Alif Aziz, Ruhainies dan Fendy Bakry melalui drama ini sangat menepati kehendaknya.
“Mengikut pengalaman, saya pernah bekerjasama dengan ketiga tiga pelakon yang hebat ini. Saya tahu kemampuan mereka dan saya juga yakin dengan bakat lakonan yang mereka miliki.
“Untuk Terjerat, saya bentuk kemampuan mereka untuk menzahirkan watak mengikut keperluan skrip dan akhirnya tidak sia-sia kerana kami berjaya,” katanya.
Azmi turut menyifatkan Ruhainies sebagai pelakon wanita yang sangat fleksibel apabila digandingkan bersama dua pelakon lelaki iaitu Alif Aziz dan Fendy Bakry.
“Ruhainies sangat fleksibel apabila digandingkan dengan Alif dan Fendy Bakry . Selain itu, Alif dan Fendy Bakry juga banyak membantu antara satu sama lain bagi menepati kehendak dan keperluan yang saya inginkan untuk setiap babak bagi drama ini ,” katanya.
Azmi berkata, drama ini mempunyai pelbagai konflik yang matang selain berlatarbelakangkan kisah percintaan yang terlarang.
Selaku pengarah, Azmi juga mahu penonton tidak skeptikal atau menjatuhkan hukuman tentang Terjerat hanya kerana kontroversi yang tercipta di antara Ruhainies dan Alif Aziz.
Hal itu lantaran Terjerat Cinta bukan hanya berkisar tentang percintaan yang terlarang tetapi juga mempunyai pelbagai konflik yang matang.
“Drama ini juga mencungkil kelemahan dan khilaf individu yang bergelar manusia yang tak terlepas daripada berbuat kesalahan.
“Drama ini juga menuntut rasional penonton untuk menonton setiap episod bagi mengetahui kisah yang sebenar kerana perjalanan cerita atau plotnya tidak semudah yang disangkakan.
Penonton juga perlu melihat hasil kerja yang saya dan barisan pelakon drama Terjerat hidangkan bagi menilai selera dalam konteks genre yang berbeza,” katanya lagi.
Sebagai tunggak utama Terjerat, Alif Aziz yang mencetuskan kontroversi sewaktu naskhah ini dalam pembikinan bersikap profesional terutama membabitkan kerja yang perlu dilunaskan.
Membawakan watak Faliq, Alif Aziz bersyukur kerana kepercayaan yang telah diberikan pihak iQIYI dan produksi Terjerat dan sentiasa bersedia untuk mempromosikan naskhah ini buat penonton.
“Terdapat banyak mesej yang terkandung sepanjang naskhah ini yang saya rasa dapat semua penonton ambil juga sebagai peringatan.
“Sebagai Faliq, kehidupan susah dan senang yang pernah dilaluinya sebelum ini telah membentu karakternya pada hari ini sehingga Faliq antaranya menjadi keras hati.
“Secara peribadi, saya merasakan terjerat adalah satu naskhah yang menarik kerana ia mempunyai banyak plot twist yang will keep the ride exciting for the viewers, Insya-Allah,” katanya.
Membawakan watak Izham, Fendy Bakry memegang tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej tentang kaki judi yang dijadikan alternatif mendapatkan duit dengan cara cepat dan terjadi dalam kalangan masyarakat di dalam drama ini.
“Besar harapan saya agar mesej yang disampaikan dalam drama ini dapat membantu atau menjadi teladan dalam kehidupan harian masyarakat kita.
“Sebagai Izham yang memainkan watak kaki judi, ia boleh menjerumus ke dalam segala jenis kejahatan yang serius seperti pembunuhan misalnya boleh bermula daripada sikap buruk berjudi.
“Walau sukar atau payahpun kehidupan dengan desakan ekonomi dan taraf hidup, jauhilah judi.
“Jika kita berfikir boleh mendapatkan wang mudah dengan berjudi tapi impak buruk menanti anda di kemudian hari.
“Jangan berjudi dan elakkan berjudi. Carilah sumber rezeki yang halal kerana kita mahukan keberkatan dalam institusi kekeluargaan.
“Usah hanya pandai menanam tebu di bibir sana tapi perlakuan kita kurang. Utamakan apa yang perlu diutamakan iaitu Allah dan Insya-Allah, Allah akan menjaga yang lainnya,” katanya.
Bagi iQIYI pula tidak ada yang lebih besar daripada mengharapkan 12 episod drama ini dapat mencuri hati penonton menerusi lakonan hebat Alif Aziz, Ruhainies, Fendy Bakry bersama pelakon lainnya kerana mesej besar yang dipaparkan di dalam naskhah Azmi Hatta ini.
Drama Terjerat akan disiarkan pada jam 9 malam setiap Jumaat dan Sabtu di iQIYI.