GUA MUSANG, KELANTAN – YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang, Kelantan. Pengarah JKR Kelantan, YBrs. Ir Mohd Suhaili Ismail dan Jurutera Jajahan Gua Musang, YBrs. Ir. Ts. Wan Nurul Azhar Wan Ghazali telah menyambut rombongan YB Timbalan Menteri dan memberi taklimat berkenaan perkembangan projek infrastruktur di Negeri Kelantan.

YB Timbalan Menteri Kerja Raya turut meluangkan masa melihat sendiri perkembangan projek membina jalan baharu dari Jambatan Bertam ke Jalan Negeri D235 Gua Musang. Tarikh milik tapak adalah pada 28 Mac 2022 di mana sehingga 20 Jun 2024, kemajuan projek ini berada di tahap 58.67% iaitu mendahului jadual sebanyak 1.23% dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025. Kos kontrak asal projek ini bernilai RM9.039 juta.

Pemilik projek jalan ini ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana agensi pelaksana adalah JKR Jajahan Gua Musang. Projek ini merupakan kesinambungan Projek Membina Jalan dan Jambatan dari Kampung Bertam Baru ke Kampung Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan.

Pembinaan projek ini dijangka dapat menghubungkan jalan raya di antara kawasan Bertam Baru dan Bertam Lama yang sebelum ini dipisahkan oleh Sungai Nenggiri. Disamping itu jaringan jalanraya ini akan melengkapkan sistem rangkaian jalan yang menghubungkan kampung – kampung terdekat seperti Kampung Limau Kasturi dan Kampung Jerek untuk ke Bandar Gua Musang dan sebaliknya. Ini bakal memanfaatkan penduduk sekitar seramai 5000 orang. Ia sekaligus dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk luar bandar dan menjadi pemangkin serta pemboleh (enabler) bagi penduduk mengeluarkan, menghantar dan memasarkan hasil pertanian.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pembinaan dapat mengekalkan momentum penyiapan projek ini dengan menepati mutu yang ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa. Fokus berterusan terhadap jalan raya ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membina rangkaian perhubungan jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten.

Leave a Reply