KERTEH, 16 Julai – Kelab Bola sepak Komuniti, Kerteh FC, melangkah setapak lagi dalam usahanya untuk menambah dana, menarik sokongan penyokong dan meningkatkan capaian peminat baharunya menerusi platform aplikasi digital terkini.
Menurut Presidennya, Mohd Razeman Mat Nashim, Kerteh FC dengan kerjasama strategik Sportexclub, sebuah syarikat inovasi Teknologi Maklumat (IT) dari Minsk, Belarus, kini dalam fasa akhir untuk melancarkan aplikasi canggih itu yang merupakan pertama di negara ini.
“Kita berharap dengan aplikasi canggih itu, akan membantu kelab bola sepak Kerteh ini menarik dana tambahan selain meningkatkan jumlah capaian peminat baharu bukan sahaja dari sekitar Kerteh, malah dari seluruh negeri Terengganu dan juga dari seluruh negara”.
“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting bagi Kerteh FC, mengukuhkan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi demi pertumbuhan dan penglibatan semua peminat dan penyokong kami”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Jelas Razeman, aplikasi Sportexclub yang terkenal merupakan antara aplikasi mesra pengguna dengan ciri-ciri yang kukuh yang akan menyediakan Kerteh FC dengan sistem baharu untuk meningkatkan usaha pengumpulan dana dan mengembangkan pangkalan data peminat kelab bola sepak komuniti itu.
Kerjasama strategik itu tambah beliau, akan membolehkan Kerteh FC berhubung dengan penaja dan penyokongnya secara digital sekaligus mampu menjana aliran pendapatan baharu serta menyumbang kepada lebih banyak pencapaian kelab.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Sportexclub kerana pendekatan inovatif mereka untuk mengintegrasikan teknologi dengan pengurusan sukan selari dengan visi kami. Perkongsian ini akan menyediakan kami dengan sumber digital yang kami perlukan untuk meningkatkan operasi kami dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
“Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, Sportexclub akan menyokong usaha Kerteh FC untuk melibatkan komuniti dan mempromosikan penyertaan dan sokongan pihak awam. Aplikasi itu akan menjadi alat utama dalam program penglibatan peminat kami, membantu kami berhubung dengan penyokong dan memupuk budaya sukarelawan dan penyertaan komuniti di Kerteh.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sportexclub, Yauheni Kokhna berkata, pihaknya teruja dan berbangga dengan kerjasama yang dijalin dengan Kerteh FC walaupun kelab tersebut bertaraf kelab bola sepak komuniti.
“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Kerteh FC. Misi kami adalah untuk memperkasakan kelab bola sepak dengan teknologi yang mendorong kepada pertumbuhan dan penglibatan.
Kami percaya perkongsian ini akan memberi impak yang bermakna kepada Kerteh FC dan komuniti setempat yang lebih luas selain memberi pengalaman baharu kepada penyokong sebuah kelab bola sepak di Malaysia dalam berkomunikasi dengan sebuah kelab bola sepak yang mereka sokong”.
Menerusi aplikasi digital itu, peminat dan penyokong kelab tersebut boleh mendapatkan pelbagai maklumat selain berinteraksi secara terus dengan pengurusan kelab.
Pendaftaran keahlian serta pemilikan saham di dalam Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) juga disediakan menerusi aplikasi tersebut.
Aplikasi digital itu dijangka dilancarkan pada bulan Ogos ini.
Pihak pengurusan Kerteh FC akan mengeluarkan kemas kini berkaitan aplikasi digital tersebut sebaik sahaja ianya sedia digunakan tidak lama lagi.