KUALA NERANG, 20 Julai – Ahli UMNO diingatkan agar tidak merosakkan parti sendiri dengan menerima dan percaya bulat-bulat dakyah pembangkang yang bertujuan memburukkan kepimpinan UMNO disemua peringkat Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setiap khabar yang diterima terutama dari media sosial, perlu disemak terlebih dahulu agar tidak terpedaya hingga termakan mainan pembangkang.
Katanya, setiap ahli UMNO perlu mengawal perasaan amarah dan emosi bagi menilai setiap khabar disampaikan agar mereka tidak tersilap langkah dalam mengambil tindakan hingga melemahkan parti.
“Kadang-kadang sesebuah parti itu kelihatan lesu bukan disebabkan kekuatan pihak lawan tetapi kerana tindakan ahlinya sendiri. Apabila datang dakyah dari pembangkang, macam mudah sangat nak percaya bulat-bulat sedangkan kita tak berusaha mencari kebenarannya dengan menyemak semula berita itu.
“Pada akhirnya kita tidak sedar sedang dipermainkan oleh pihak yang mahu menjahanamkan parti ini. Cerita seperti ini mudah tersebar di media sosial, malah di kedai-kedai makan dan kita sebagai individu yang berfikiran waras perlu menilai mengesahkan kesahihannya terlebih dulu sebelum menerima bulat-bulat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu Mahdzir berkata, tindakan UMNO Bahagian Alor Setar mengusulkan supaya diwujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Penyelaras Pembangunan Negeri dan mencalonkan namanya bagi membantu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang bertindak sebagai pengerusi, mungkin dibuat bagi memastikan terdapat kolaborasi antara Persekutuan dan negeri.
“Mereka melihat mungkin perlu ada koordinasi lebih baik kerana apabila projek pembangunan Persekutuan datang ke Kedah, ia akan berpusat di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Kemudian apabila projek itu hendak dilaksanakan, yang nak menyambutnya adalah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Apabila itu berlaku, nampak seolah-olah tiada pihak yang hendak mengendalikan pelaksanaan projek tersebut bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Yang ada cuma menteri itu saja dan mungkin itulah yang menjadi pertimbangan mereka (UMNO Bahagian Alor Setar),” katanya.
Mengulas mengenai usul yang dibuat UMNO Bahagian sama agar UMNO kembali diberikan kerusi Parlimen Alor Setar serta salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ, Mahdzir berkata parti itu memiliki hak untuk membuat permintaan itu.
“Kita ada hak untuk minta dan tiada salahnya untuk UMNO Alor Setar berbuat demikian. Tak ada salahnya untuk kita menilai semula kesesuaian parti mana yang harus bertanding di Parlimen dan DUN tersebut, atau mana-mana kawasan demi kebaikan bersama.
“Semua ini bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan perkara sebegini tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang membawa kepada perpecahan,” katanya.