TANJUNG SEDILI, 20 Julai– Memasuki hari kedua insiden pelanggaran kapal MT HAFNIA NILE dan MT CERES 1, Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menugaskan sebuah kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN dan KM MULIA bagi menggantikan KM NIAH ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana Maritim, Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Mad Yunus berkata, Kapal MT HAFNIA NILE berdaftar di Singapura telah dilaporkan berlanggar dengan MT CERES 1 berdaftar di Republik Demokratik São Tomé dan Príncipe serta turut mengakibatkan MT HAFNIA NILE terbakar di posisi 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau dalam Perairan Wilayah Malaysia serta Wilayah Mencari Dan Menyelamat Malaysia (MSRR).

Usaha CARILAMAT yang diaktifkan MRSC Johor Bahru pada 6:55 pagi semalam turut mendapat respon Singapura yang juga merupakan first responder di mana kapal Tentera Laut Singapura RSS Supreme telah menyelamatkan 22 orang kru MT HAFNIA NILE dan dibawa ke Singapura bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi CARILAMAT hari kedua bagi tindakan menyelamat kru kapal MT CERES 1 hari ini diteruskan namun kapal berkenaan dikesan telah meninggalkan kawasan perlanggaran dengan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS) namun dipercayai masih berada dalam Perairan Wilayah Malaysia.

Maklumat dan semakan MRSC Johor Bahru bersama Jabatan Laut Malaysia turut mendapati no pendaftaran IMO kapal berkenaan meragukan dan tindakan kapal berkenaan meninggalkan kawasan insiden juga diragui. Maritim Malaysia kini dalam usaha menjejaki kapal berkenaan dengan mengaturgerak pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP Maritim Malaysia pada jam 12 tengahari tadi bagi tujuan penyelamatan dan siasatan.

Beliau turut berkata, selain menggerakkan aset ke sektor pencarian, Maritim Malaysia akan mengatur gerak Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi bersiap sedia untuk menyelamat mangsa yang dipercayai masih berada di atas MT CERES 1.

“Setakat ini, Maritim Malaysia tidak dapat memastikan keadaan sebenar kapal beserta kru MT CERES 1 memandangkan ianya tidak dapat dihubungi.”

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Zon Maritim Tanjung Sedili hari ini.

Turut hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Kama Azri bin Kamil dan Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib bin Sam.

Laksamana Pertama Maritim Zin Azman dalam pada itu turut memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan turut serta bagi melaksanakan pemantauan tumpahan minyak di lokasi insiden.

Beliau turut memaklumkan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut bersiap sedia menyalurkan bantuan sekiranya keadaan memerlukan.

Terdahulu, Maritim Negeri Johor menerusi MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan CARILAMAT dengan penglibatan Kapal Maritim (KM) NIAH , Bot PERKASA 29 bot PETIR 12 dari Maritim Malaysia, KD GEMPITA dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan bot ronda PA 9 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dengan jumlah keseluruhan anggota terlibat melebihi 100 orang bagi melaksanakan CARILAMAT tersebut.

Leave a Reply