SEPANG – Masyarakat di negara ini dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan atau tawaran sijil palsu yang kembali berleluasa di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pembabitan kegiatan ini salah di sisi undang-undang dan mengundang risiko tidak diingini kepada penjual, pembeli dan majikan yang merekrut pemegang sijil kelayakan palsu ini.

Beliau berkata, bagi peringkat pendidikan tinggi, MQA ialah badan yang bertanggungjawab mengawal selia kualiti program akademik di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, bagi lulusan dari luar negara, pihaknya mempunyai jaringan badan akreditasi antarabangsa yang boleh menyemak kesahihan kelayakan seseorang.

“Semakan ini penting terutama kepada majikan yang ingin mendapatkan pengesahan kelayakan calon yang memohon pekerjaan di syarikat masing-masing.

“Diharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan iklan sijil palsu ini kerana ia perkara yang merugikan individu dari aspek kewangan seterusnya memberi imej buruk kepada mereka yang terbabit kerana ia satu bentuk penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan sebuah akhbar bertajuk ‘Beli Sijil PhD RM4,000’, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, secara umumnya penjualan sijil palsu peringkat pendidikan tinggi ini bukan perkara baru kerana ia sudah berlaku sejak 1980-an lagi di Amerika Syarikat (AS) dan dijual secara terang-terangan.

Katanya, sekiranya masyarakat menerima iklan atau tawaran yang ‘terlalu bagus untuk dipercayai’ dalam konteks sijil kelayakan pendidikan tinggi, dinasihatkan untuk merujuk kepada MQA terlebih dahulu supaya tidak terjerat dengan tipu daya sindiket sijil palsu.

Tambahnya, bagi semakan program akademik, masyarakat boleh rujuk terus ke Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) menerusi pautan https://www2.mqa.gov.my/mqr/ atau bagi peringkat ijazah kedoktoran/ijazah kehormat semakan boleh dibuat menerusi portal yang disediakan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) iaitu https://dohe.mohe.gov.my/award/

“Dalam dunia digital kini, sukar untuk kita membendung semua maklumat yang datang terutama daripada media sosial, namun semakan boleh dibuat sama ada melalui MQA, JPT atau  terus kepada IPT yang berkenaan.

“Di MQA, kita tidak mahu masyarakat Malaysia tertipu dengan sindiket ini yang mengaut keuntungan jutaan ringgit kerana ‘pelaburan’ yang mereka keluarkan akan menjadi sia-sia sahaja kerana sijil yang dikeluarkan tidak sah,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply