KUALA LUMPUR – Kehadiran Wanita ke Perhimpunan Agung UMNO 2024 dilihat sangat luar biasa dan berbeza daripada selepas kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari berkata kehadiran itu boleh dilihat di PAU 2024 yang dipenuhi di segenap kawasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Kehadiran luar biasa, selepas kalah PRU14. Kalau dulu kehadiran untuk PAU tak ramai

“Kali ini, Alhamdulillah nampak banyak daripada wanita yang datang sebagai pemerhati.

“Walaupun tak dapat masuk dewan mereka datang sebagai pemerhati,” katanya.

Menurut Rosni, semangat Wanita UMNO sangat luar biasa dan harap ia berterusan sehingga PRU16.

Beliau berkata sangat mengagumi semangat Wanita UMNO yang bangkit selepas kekalahan PRU14.

“Semangat kita memang ‘down’ masa itu. Bagaimanapun Wanita menerima itu sebagai satu realiti dan kita istiqomah untuk berusaha bangkit semula.

“Alhamdulillah tanpa penat dan jemu, kita berusaha dan tidak tinggalkan parti kita.
Kita tetap kerja dan usaha sehingga kemanisannya menang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri,” katanya.

Sementara itu, Rosni berkata keahlian Wanita UMNO meningkat selepas PRU14.

Beliau berkata walaupun kalah selepas PRU14 tetapi keahlian Wanita UMNO meningkat daripada 1.3 juta kepada 1.5 juta.

Rosni juga yakin kemenangan di Nenggiri dapat diteruskan di PRK DUN Mahkota.

“Kita yakin boleh menang. Bagaimanapun akan terus usaha untuk berkempen,” katanya.

Leave a Reply