Kuala Lumpur, 9 September 2024 – Malaysia mencatat satu kemenangan besar apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Hague, Belanda, memutuskan bahawa tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah tidak sah.
Keputusan ini sekaligus menolak tuntutan pampasan lebih RM60 bilion yang diajukan oleh kumpulan tersebut, mengakhiri persengketaan yang berlanjutan bertahun-tahun.
Kejayaan ini bukan sahaja mempertahankan kedaulatan Sabah, tetapi juga melindungi aset penting negara, termasuk syarikat minyak dan gas negara, Petronas.
Di sebalik kemenangan ini, sosok yang banyak dipuji adalah YB Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Ketua Penerangan UMNO Malaysia, yang dikatakan memainkan peranan utama dalam pertahanan negara di mahkamah antarabangsa.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Azalina digambarkan sebagai “unsung hero” atau wira yang tidak didendang. Beliau telah berusaha keras bagi memastikan Malaysia tidak kehilangan aset-aset penting yang hampir dirampas oleh kumpulan Sulu.
Gulam juga menyatakan bahawa semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, isu tuntutan ini tidak ditangani dengan tegas, menyebabkan keadaan semakin rumit.
“Negara kita hampir kehilangan aset penting seperti Petronas, dan ketika itu kerajaan di bawah pentadbiran PM7 dan PM8 tidak bersungguh-sungguh mempertahankan wilayah Sabah, sama seperti kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura,” kata Gulam dalam kenyataannya.
Gulam juga mengulas tentang kritikan yang diterima Azalina di kalangan UMNO sendiri. Ada yang mencadangkan agar beliau digantikan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia, namun prestasinya dalam kerajaan kini membuktikan sebaliknya.
“Ada pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Keep your work in silence and let your success make noise,’ dan itu benar-benar menggambarkan YB DS Azalina. Beliau terus bekerja dalam diam, tetapi kejayaannya kini berbicara sendiri,” tambah Gulam.
Keputusan ICJ ini telah memberikan keyakinan baharu kepada Malaysia dalam mempertahankan kedaulatannya dan menutup pintu bagi mana-mana pihak yang cuba membuat tuntutan terhadap Sabah di masa hadapan.
Azalina pula kini dikenang sebagai salah seorang pemimpin yang berjasa besar dalam memastikan kemenangan ini tercapai.