Kuala Lumpur, 16 September 2024 – Hari Malaysia ke-61 yang disambut pada 16 September tahun ini menjadi satu titik refleksi penting dalam sejarah negara, mengingatkan kita tentang perjalanan pembentukan negara yang dikenali sebagai Malaysia.
Menurut Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, dalam kenyataannya menekankan kepentingan Hari Malaysia dan sejarah di sebalik penubuhan negara ini.
Pada 16 September 1963, Malaysia secara rasmi ditubuhkan dengan penyertaan Sabah, Sarawak, dan Singapura, bersama 11 negeri di Semenanjung. Walaupun Singapura menarik diri pada 1965 dan Brunei membuat keputusan untuk tidak menyertai, penubuhan Malaysia tetap diiktiraf sebagai langkah bijak oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
Tunku melihat kepentingan mengukuhkan Asia Tenggara, khususnya bagi mengekang pengaruh komunis yang semakin berkembang pada waktu itu serta untuk menstabilkan hubungan dengan Indonesia dan Filipina yang turut menuntut wilayah di Borneo.
“Penubuhan Malaysia adalah hasil kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, yang menggunakan pengaruhnya untuk membentuk kesepakatan antara negeri-negeri ini dan kerajaan British melalui Suruhanjaya Cobbold,” kata Gulam Muszaffar.
Suruhanjaya itu mengadakan pungutan suara dan majoriti rakyat Sabah, Sarawak, dan Singapura ketika itu memilih untuk menyertai Malaysia.
Gulam turut menyentuh betapa istimewanya kisah penubuhan Malaysia, di mana orang Melayu di Tanah Melayu pada ketika itu menunjukkan sifat pemurah dengan bersedia berkongsi kuasa politik dengan etnik lain dari Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah contoh terbaik konsep ‘bersatu dalam kepelbagaian’ atau ‘unity in diversity’, di mana rakyat dari pelbagai bangsa, agama, dan adat resam hidup dalam harmoni dan saling hormat-menghormati,” tambahnya.
Selama 61 tahun, Malaysia berkembang daripada sebuah negara miskin berasaskan pertanian kepada sebuah negara yang pesat membangun dengan pelbagai sektor ekonomi dan industri.
Gulam menegaskan bahawa perpaduan kaum dan keadilan sosial yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus terus dipelihara untuk memastikan kemajuan berterusan.
“Malaysia yang kita kenali hari ini terbentuk hasil perpaduan rakyatnya yang berbilang kaum. Kita harus menghargai keadilan dan kesaksamaan yang dijamin oleh Perlembagaan dan memastikan ianya dipertahankan,” katanya.
Justeru, Gulam Muszaffar berharap agar Malaysia terus maju dan makmur dalam tahun-tahun mendatang. “Selamat Hari Malaysia ke-61. Semoga negara kita terus berkembang pesat, maju dan makmur,” katanya.
Malaysia Meniti Ke Arah Kemajuan
Hari Malaysia ke-61 bukan sahaja mengingatkan kita tentang sejarah, tetapi juga mengajak seluruh rakyat untuk terus memupuk perpaduan dan berusaha ke arah negara yang lebih gemilang di masa depan. Pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan kaum menjadi asas penting kepada kejayaan negara hingga ke hari ini.