KUALA LUMPUR, 17 September 2024 – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menyatakan bahawa terdapat kewajaran untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada tahun 2022.

Beliau menyifatkan kedua-dua peperiksaan tersebut sebagai elemen penting dalam sistem pendidikan yang telah sekian lama digunakan dan terbukti menjadi asas kepada perkembangan murid.

“Kedua-dua peperiksaan ini mempunyai nilai yang tersendiri dan terbukti berkesan dalam membantu kemenjadian murid, selaras dengan objektif pendidikan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mahdzir turut mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mencadangkan agar sistem peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak semula ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-78 di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Mahdzir, pemansuhan UPSR dan PT3 yang dilakukan oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin, dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian mendalam.

Pemansuhan tersebut telah digantikan dengan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Bagaimanapun, beliau berpendapat sistem baru ini tidak mampu menilai tahap sebenar pencapaian pelajar dan memberikan kesan kepada perkembangan pelajar.

Mahdzir turut menegaskan bahawa pemansuhan peperiksaan ini menyumbang kepada isu keciciran pelajar, termasuk kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas yang menghadapi masalah asas seperti membaca, menulis, dan mengira (3M).

“Saya melihat PBD dan PBS tidak mencerminkan kemampuan sebenar pelajar seperti mana yang dilakukan melalui peperiksaan. Malah, kaedah pentaksiran ini turut menambah beban tugas guru-guru kelas,” tambahnya.

Beliau juga menyuarakan bahawa ramai ibu bapa tidak berpuas hati dengan pelaksanaan PBD dan PBS kerana ia menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki sekolah berprestij seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Mahdzir berpendapat ketiadaan UPSR dan PT3 telah mengurangkan tahap persaingan di kalangan murid dan pelajar. “Murid Tahun 6 dan pelajar Tingkatan 3 dahulu berada dalam suasana persaingan yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Kini, dengan tiadanya peperiksaan, semangat itu semakin berkurangan, dan ibu bapa juga kurang memberi perhatian kepada pembelajaran anak-anak mereka,” jelasnya lagi.

Sebagai makluman, UPSR mula diperkenalkan pada tahun 1988 untuk menilai kemampuan murid dalam aspek 4M (membaca, menulis, mengira, dan menaakul), manakala PT3 mula dilaksanakan pada tahun 2014 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Cadangan untuk mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3 ini dijangka akan menarik perhatian ramai pihak, khususnya dalam kalangan ibu bapa dan pendidik, yang mungkin menyokong ataupun membantah keputusan tersebut.

Leave a Reply