PUTRA menuntut agar kerajaan segera melakukan tindakan berani dalam merombak sistem pendidikan Tahun 6 dan Tingkatan 3, khususnya selepas pemansuhan UPSR dan PMR.
KUALA LUMPUR, 19 Sept 2024 – Parti Putra hari ini menggesa kerajaan untuk melaksanakan rombakan segera terhadap sistem pendidikan bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3, berikutan kebimbangan mengenai prestasi pendidikan negara yang kian merosot.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Pendidikan Parti Putra, Hj Nasir Othman, parti tersebut mengaitkan rombakan ini dengan isu pemansuhan peperiksaan awam seperti UPSR dan PMR yang didakwa menyebabkan ramai pelajar gagal menguasai asas pendidikan.
Menurut Nasir, statistik dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan hampir 28% daripada 448,113 pelajar bagi sesi 2024/2025 masih belum menguasai literasi dan numerasi.
“Seramai 45,465 pelajar Tahun 1 belum menguasai literasi, manakala 13,669 lagi belum menguasai numerasi. Ini menunjukkan ada kepincangan besar dalam penyampaian pendidikan di peringkat awal,” tegasnya.
Putra juga mengkritik pelbagai retorik dalam pendidikan seperti penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), yang menurut mereka lebih kepada ‘syok sendiri’.
Hj Nasir menegaskan bahawa tumpuan sepatutnya diberikan kepada asas pendidikan, di mana fungsi guru mengajar dan pelajar belajar perlu diperkukuhkan terlebih dahulu.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan pelajar yang tidak menduduki SPM, dengan lebih 10,000 pelajar gagal menduduki peperiksaan tersebut tahun lepas.
Putra menyeru agar kerajaan lebih menitikberatkan aspek kepimpinan dan tatakelola pendidikan, termasuk di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), untuk mengatasi masalah-masalah tersebut.
“Isu pendidikan tidak memerlukan perbelanjaan jutaan ringgit melibatkan pakar luar negara, kerana kepakaran tempatan lebih memahami budaya dan sistem pendidikan negara,” tambahnya.
Putra juga menyatakan bahawa pemansuhan peperiksaan seperti UPSR dan PMR bukan penyelesaian terbaik kepada masalah pendidikan, tetapi menegaskan bahawa fokus seharusnya diberikan kepada penyampaian pembelajaran yang lebih berkesan di sekolah.
“Jika murid gagal mencapai tahap yang diharapkan, adakah salah alat penilaian itu? Sepatutnya, KPM memperbaiki sistem penyampaian pembelajaran, bukan menghapuskan alat penilaian tersebut,” katanya.
Parti Putra berharap agar kerajaan segera merombak sistem pendidikan secara menyeluruh untuk memastikan tahap pendidikan negara tidak terus merosot dan mampu menghasilkan modal insan berkualiti demi kemajuan negara.