SEPANG – Penubuhan Pusat Kecemerlangan dalam Pendidikan dan Latihan untuk belia dari negara-negara membangun dan pasca-perang mampu membantu merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dengan kualiti pendidikan tinggi yang baik dan setaraf negara maju, usaha itu tidak mustahil dapat dicapai.
Beliau berkata, aspek kualiti bukanlah satu halangan bagi menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di negara ini kerana Malaysia mempunyai tahap pendidikan yang baik dan diiktiraf di persada global.
“Mandat diberikan kepada Malaysia untuk menyediakan akses pendidikan kepada belia rakyat negara-negara yang terbabit adalah satu kepercayaan serta penghormatan terhadap pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini besar ertinya buat kita kerana ia menjadi platform untuk membuktikan kemampuan sebenar negara dalam pendidikan tinggi,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata, Malaysia akan membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan dalam Pendidikan dan Latihan untuk belia dari negara-negara membangun dan pasca-perang yang dipilih termasuk Afghanistan, Iraq, Libya, serta Timor Leste.
Perkara itu telah dipersetujui dalam pertemuan dua hala dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Prof. Tetsuya Watanabe, dan Pakar Perdagangan Utama di Kumpulan Bank Dunia, Dr. Roberto Echandi semasa lawatannya ke Switzerland, baru-baru ini.
Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Mohammad Shatar berkata, dalam menjayakan usaha murni itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu sentiasa bersedia dengan menonjolkan bidang tujahan atau bidang kepakaran masing-masing untuk ditawarkan kepada pelajar yang terbabit dalam inisiatif berkenaan.
Katanya, dengan kekuatan 20 universiti awam dan lebih 400 IPT swasta, pendidikan tinggi Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh diketengahkan.
“Dengan frasarana IPT yang baik di negara ini, pastinya usaha menubuhkan pusat kecemerlangan itu akan dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.
“IPT tempatan disaran untuk menyokong hasrat murni ini dengan mempertingkatkan keterlihatan keunikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di institusi masing-masing,” katanya.