Semenyih, 21 September – Program Hari Malaysia yang dianjurkan di Taman Pelangi Semenyih 2 hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

Acara yang dianjurkan bersempena Hari Malaysia ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk di kawasan Reflexia dan Taman Pelangi Semenyih 2, Semenyih, Selangor.

Menurut Pengerusi Penduduk Taman Pelangi Semenyih 2, Muhammad Tarmizi Bin Lumeri, beliau menyatakan bahawa program ini merupakan inisiatif yang penting bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti.

“Dengan pelbagai latar belakang budaya, acara ini menjadi platform terbaik untuk penduduk mengenali antara satu sama lain dan menghargai kepelbagaian yang kita miliki,” katanya.

Antara aktiviti yang menarik perhatian adalah pertandingan pakaian beragam, sukaneka, dan pameran komuniti yang melibatkan ramai peserta daripada pelbagai lapisan umur.

Para Penduduk juga turut memuji pihak penganjur yang berjaya menyusun pelbagai acara menarik, menjadikan program tahun ini lebih berjaya berbanding tahun sebelumnya.

Sambutan Hangat Luar Biasa Penduduk

Lebih daripada 300 penduduk hadir memeriahkan program ini, di mana mereka bukan sahaja berpeluang menyertai aktiviti, tetapi juga merapatkan hubungan antara jiran-jiran yang sebelum ini kurang berinteraksi.

Program ini juga menjadi platform untuk penduduk berkongsi pengalaman dan menyelesaikan masalah komuniti dengan lebih baik.

Menurut seorang penduduk, “Program seperti ini memberikan kita peluang untuk lebih mengenali jiran-jiran, terutama bagi mereka yang baru menetap di kawasan ini. Selain itu, kita juga dapat menyumbang kepada komuniti dan merapatkan silaturahim.”

Pemenang Pertandingan Pakaian Berhias

Kemenangan pasangan Muhammad Hafiz dan Nor Bayani, yang tampil mempesona dalam pakaian tradisional Sarawak, menjadi sorotan utama acara tersebut. Mereka membawa pulang wang tunai RM1,500 bagi kategori pakaian berhias. Menurut mereka, walaupun persiapan dilakukan pada saat akhir, mereka gembira kerana dapat mempamerkan keindahan budaya Sarawak.

Selain itu, Ibu Bapa kepada Adik Humairah yang turut menyertai pertandingan kategori duo berjaya memenangi hadiah utama RM1,000, manakala Humairah sendiri memenangi RM300 dalam kategori pakaian berhias kanak-kanak. Ibu bapa Humairah menyatakan rasa bangga dengan pencapaian anak mereka dan berharap program ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Pasangan Aliff dan Hani juga berbangga apabila anak mereka, Aisyah, memenangi kategori pakaian berhias bawah 4 tahun dengan konsep pakaian Tun Teja. Mereka menerima wang tunai RM300 dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran acara tersebut.

Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih 2 berharap agar program seperti ini akan terus diadakan setiap tahun bagi membina komuniti yang lebih erat dan harmoni.

Dengan kejayaan sambutan kali kedua ini, penduduk optimis bahawa kerjasama dan sokongan yang diberikan akan terus memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Pihak penganjur FX Business Group yang diwakili oleh Miss Farisya, Personal Assistant turut mengucapkan terima kasih kepada kepada semua pihak yang memberikan sokongan terhadap program ini.

Program Hari Malaysia di Taman Pelangi Semenyih 2 bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kejiranan, tetapi juga menjadi lambang kepada perpaduan yang terus mekar dalam komuniti yang berbilang kaum dan budaya.

Leave a Reply