KUALA LUMPUR, 25 September 2024 – Satu sindiket penipuan melibatkan individu yang mendakwa dirinya sebagai agen sah bagi pengambilan pembantu rumah telah menjerat lebih daripada 13 mangsa di seluruh Malaysia.

Penipu tersebut, dikenali sebagai Vemalesan A/L Muniandy, menggunakan platform media sosial seperti aplikasi TikTok untuk menipu dan memperdaya orang ramai dengan mendakwa dirinya berdaftar sebagai agen sah yang bertauliah dengan Kerajaan Malaysia.

Modus operandi penipu ini adalah dengan menawarkan perkhidmatan membawa masuk warga asing sebagai pembantu rumah kepada keluarga yang memerlukan. Mangsa-mangsa dilaporkan telah membayar antara RM12,000 hingga RM19,000 secara dalam talian kepada individu tersebut, yang kononnya menawarkan khidmat pembantu rumah.

Sehingga kini, tiada seorang pun daripada mangsa menerima sebarang khidmat yang dijanjikan, sebaliknya hanya mendapati diri mereka telah ditipu.

Antara mangsa yang telah tampil membuat laporan ialah Hariharan A/L Subramaniam yang kerugian RM11,500, Taneshwary A/P Sundram yang ditipu RM10,000, dan Tan King Wah yang membayar RM12,300 kepada suspek. Kesemua transaksi pembayaran dilakukan secara online, menjadikan penipuan ini lebih sukar dikesan pada peringkat awal.

Laporan polis telah dibuat di beberapa balai polis, antaranya di Sentul, Rawang, Kuantan, dan Gelang Patah, namun sehingga kini dipercayai tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas suspek (Vemalesan A/L Muniandy).

Mangsa juga meluahkan kekecewaan mereka terhadap kurangnya maklumat daripada pihak penyiasat mengenai perkembangan kes.

Salah seorang mangsa, Rajah A/L Tanimalai yang telah kerugian RM10,000, berkata, “Kami telah menunggu tindakan daripada pihak polis, namun sehingga kini, tiada apa-apa maklumat lanjut. Kami berharap ada tindakan yang diambil terhadap individu ini.”

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dipuji oleh Dato Dr KalaiVanar kerana memimpin badan PDRM dengan penuh komitmen dan dedikasi berharap agar dapat membantu mangsa-mangsa ini dan mengarahkan pasukan penyiasat untuk mempercepatkan siasatan dan membawa saspek tersebut ke muka pengadilan.

Dengan jumlah kerugian yang tinggi serta mangsa-mangsa yang semakin ramai, penipuan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna media sosial yang mudah terdedah kepada pelbagai jenis penipuan dalam talian.

Penipuan melalui platform digital seperti ini menjadi satu amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dan menyelidik latar belakang agen yang menawarkan perkhidmatan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

Pihak berkuasa diharapkan dapat mengambil tindakan tegas untuk mengawal selia iklan atau perkhidmatan yang ditawarkan melalui media sosial, bagi memastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap dalam skim penipuan seperti ini.

Leave a Reply