Kuala Lumpur, 25 September 2024 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, menolak keras tuduhan bahawa UMNO diresapi pengaruh komunis susulan lawatan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China baru-baru ini.
Tuduhan tersebut timbul selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis yang mendakwa UMNO terlibat dengan ajaran komunis hasil daripada hubungan diplomatik Malaysia-China yang kini menjangkau 50 tahun.
Menurut Puad, dakwaan ini tidak berasas dan hanyalah percubaan Bersatu untuk mencipta kontroversi politik. “Inilah masalah mereka yang masuk Bersatu. Mereka diindoktrinasi sehingga menjadi ‘bengap’,” kata Puad.
Tuduhan tersebut turut melibatkan bekas Menteri Besar Johor, Dato’ Sahruddin Jamal, yang menuduh Puad akan menyebarkan ajaran komunis di Dewan Johor.
Puad menjelaskan bahawa lawatan delegasi BN ke China merupakan acara tahunan, yang berlangsung bahkan semasa Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin masih berada dalam UMNO.
“Buktikan siapa yang sudah jadi komunis?” soal Puad, membidas tuduhan yang dianggapnya tidak berasas.
Beliau turut menegaskan bahawa lawatan tersebut lebih kepada mempelajari kemajuan teknologi dan infrastruktur di China, termasuk mengunjungi Universiti Tsinghua dan syarikat teknologi gergasi HUAWEI di Kota Shen Zen.
“Tiada unsur ideologi komunis yang diajar. Kami hanya belajar tentang permodenan, teknik perkaderan, dan pembangunan teknologi,” tambahnya.
Puad turut membandingkan situasi ini dengan lawatan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang, ke Iran semasa konflik di Aleppo, Syria. Menurutnya, lawatan itu bahkan mendapat kritikan daripada ulama terkemuka Dr. Yusuf Al-Qaradawi, tetapi tiada sebarang tuduhan keterlaluan seperti yang dihadapi UMNO.
Puad turut mempertikaikan mengapa lawatan Muhyiddin ke Beijing pada tahun 2011 dan 2014 tidak dipersoalkan, sedangkan sekarang Bersatu begitu cepat membuat tuduhan tanpa bukti kukuh.
Tuduhan terhadap UMNO ini dijangka akan terus menjadi isu panas dalam landskap politik Malaysia, terutama menjelang pilihan raya akan datang.