KUALA LUMPUR, 26 September 2024 – The Spine @ PJKita bakal menjadi tumpuan ramai hujung minggu ini dengan berlangsungnya Pesta Vintage, Thrift, dan Seni, acara yang mempamerkan gabungan gaya retro, kreativiti seni, dan budaya thrift yang semakin mendapat tempat di kalangan penggemar barangan terpakai dan unik.
Bermula dari 28 hingga 29 September 2024, pesta ini pasti akan berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat yang datang untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik serta tawaran istimewa dari vendor-vendor tempatan.
Pesta yang menampilkan lebih 50 vendor, termasuklah nama-nama besar seperti Whatsgoodcoffee, Ilustrasi Coffee, K.A.F.E.I.N, dan Batik DIY, memberikan peluang kepada pengunjung untuk membeli-belah barangan vintage, pakaian thrift, kraftangan, serta menikmati pelbagai hidangan menarik daripada food truck yang disediakan. Barangan antik, fesyen retro, serta aksesori unik merupakan tarikan utama yang dibawa khas oleh peniaga tempatan.
Selain daripada jualan, acara ini akan turut menyaksikan pertunjukan kereta modifikasi daripada komuniti seperti Nochill, Ngesot Culture, dan Distrix14. Kereta-kereta yang diubah suai menarik perhatian para pengunjung yang berminat dalam dunia automotif, manakala pameran motosikal Harley Davidson oleh KL Garage turut menambahkan keunikan acara ini.
Sokongan daripada pelbagai pihak seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menjadikan pesta ini satu platform bersepadu untuk komuniti kreatif dan pengusaha kecil.
Acara ini juga menyediakan ruang untuk artis tempatan seperti Megat Fazly, Heidi Moru, dan Razin untuk mempamerkan bakat mereka melalui persembahan muzik langsung, yang memeriahkan suasana pesta pada malam Sabtu.
JBR Bundle, selaku penaja utama untuk acara pecah guni, dan Bateriku.com sebagai rakan “breakdown” rasmi turut memainkan peranan penting dalam memastikan acara berjalan lancar dan penuh dengan aktiviti yang menyeronokkan.
Acara ini telah memperlihatkan bagaimana gabungan seni, fesyen, dan komuniti automotif dapat mencipta satu suasana yang menyatukan pelbagai minat dan hobi di bawah satu bumbung.
Dengan kemasukan percuma dan suasana yang santai, pesta ini dijangka terus menarik lebih ramai pengunjung sepanjang hujung minggu ini.
Untuk maklumat terkini tentang acara, orang ramai boleh mengikuti laman Instagram rasmi @vtafest2024.