Petaling Jaya, 2 Oktober 2024 – Nambikkai Kebangsaan, yang diketuai oleh Presiden, Dato’ Dr. Kalaivanar, hari ini menjalankan tinjauan di kawasan Mentari Court, yang dilaporkan sebagai pusat aktiviti perniagaan warga asing.
Tinjauan ini dijalankan susulan aduan mengenai peniaga asing yang menggunakan unit kediaman sebagai premis perniagaan, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga tempatan.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, penggunaan unit kediaman sebagai premis perniagaan oleh warga asing ini bukan sahaja melanggar peraturan, malah memberikan saingan tidak adil kepada peniaga tempatan.
“Peniaga tempatan di kawasan ini terpaksa membayar sewa bulanan sekitar RM3,500 hingga RM4,000, manakala warga asing hanya membayar sewa serendah RM1,000 bagi unit kediaman yang dijadikan premis perniagaan,” katanya.
Situasi ini telah menekan peniaga tempatan yang bergelut untuk menampung kos sewa tinggi, sedangkan warga asing dapat berniaga dengan kos yang jauh lebih rendah. Hal ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan peniaga tempatan yang melihat tindakan tersebut sebagai tidak adil dan melanggar undang-undang.
Dato’ Dr. Kalaivanar juga menyuarakan kesediaannya untuk bertemu dengan Dato’ Bandar Petaling Jaya bagi membincangkan isu ini dan mencari jalan penyelesaian. Beliau turut memberi amaran bahawa jika masalah ini tidak diselesaikan segera, Nambikkai Kebangsaan berkemungkinan akan mengadakan himpunan besar-besaran di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dan pejabat Imigresen Selangor.
Dalam siri tinjauan yang dijalankan, didapati banyak premis yang dikendalikan oleh warga asing telah ditutup. Ini menimbulkan syak bahawa maklumat mengenai tinjauan tersebut telah bocor, menyebabkan peniaga warga asing bertindak menutup premis mereka lebih awal.
Untuk maklumat lanjut dan video penuh mengenai tinjauan ini, orang ramai boleh menontonnya di laman Facebook & Tiktok AATV.
#Imigresen #datobandarpj #mentaricourt #wargaasing