Serendah, 4 Oktober 2024 – Alunan selawat dan qasidah telah bergema di Asrama Kasih YBK Serendah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul “YBK Berselawat 1446H” yang dianjurkan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bersama rakan-rakan NGO dari Hulu Selangor.
Majlis ini bertujuan mengingati hari lahir Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sambil merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat setempat dan institusi YBK.
Acara yang berlangsung pada malam Jumaat itu menarik kehadiran lebih daripada 300 orang yang turut serta dalam mengalunkan selawat dan qasidah memuji Rasulullah SAW. Majlis dipimpin oleh Tuan Habib Nael Ben Taher, tokoh utama Majlis Rasulullah Malaysia, dengan persembahan qasidah oleh kumpulan Aghnam Anisah yang menggamit keinsafan dan kecintaan kepada Baginda Rasulullah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBK, YBhg. Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom yang menyampaikan ucapan aluan serta tazkirah ringkas. Beliau menekankan kepentingan mengambil pengajaran daripada sunnah Rasulullah dalam kehidupan harian, terutamanya dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran masa kini. Hadir sama adalah beberapa Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YBK termasuk Encik Zulhairy Jalaluddin, Dr. Abdul Fattah Hj Khalid, dan Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad.
Antara tetamu kehormat yang mencuri perhatian adalah Bapak Drs. H.S. Effendi, MS., Ketua Adat Provinsi Bengkulu, Indonesia, yang hadir bagi turut serta dalam majlis yang penuh keagamaan itu. Pengurus Besar YBK, Encik Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz yang bertindak sebagai juru acara, menyatakan keterujaan YBK kerana dapat menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kesyukuran bersama komuniti setempat dan NGO.
Turut hadir dalam majlis adalah wakil-wakil NGO, rakan strategik, media, sukarelawan dan alumni YBK, pelajar Asrama Kasih YBK Serendah dan Gesir, serta pelatih Akademi Kemahiran YBK. Majlis yang berlangsung di Dewan Utama Asrama Kasih YBK itu turut melibatkan penonton yang menyaksikan siaran langsung menerusi Facebook Live.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemuliaan ini berakhir kira-kira jam 10 malam dengan gema selawat dan doa yang penuh penghayatan, melambangkan kecintaan umat Islam kepada Rasulullah SAW.
Dengan penganjuran majlis ini, YBK terus menekankan peranannya sebagai organisasi yang bukan sahaja membasmi kemiskinan tetapi juga membina kesejahteraan masyarakat melalui program keagamaan dan kebajikan.