KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2024 – Kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (DSHZ) telah mengundang pelbagai reaksi daripada kalangan ahli politik dan pengamat politik tanah air.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, dalam satu kenyataan media hari ini, meluahkan pandangannya mengenai situasi ini.

Menurut beliau, kemenangan ini merupakan hasil strategi YB TSMY yang bertujuan mengelakkan perpecahan dalam parti, yang dilihat sedang berada di tahap kritikal.

Beliau menambah bahawa ramai ahli parti, khususnya dari kalangan kumpulan kartel yang menyokong YB Azmin Ali, dilihat dipinggirkan dalam pemilihan kali ini.

Gulam juga mendakwa kekalahan teruk calon Perikatan Nasional (PN) di PRK DUN Mahkota, yang dipimpin oleh YB Azmin Ali, berkemungkinan mengandungi unsur sabotaj dalaman, dalam usaha mencalar kredibiliti beliau menjelang pemilihan parti.

Beza Pendekatan UMNO dan PPBM

Menyentuh soal demokrasi dalam pemilihan parti, Gulam menegaskan bahawa pendekatan UMNO dalam memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden adalah lebih telus dan terbuka.

Beliau merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO yang dihadiri ribuan perwakilan dari seluruh bahagian, di mana usul tersebut dibincangkan dan disokong secara terbuka, berbanding PPBM yang hanya membuat keputusan tersebut dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Gulam turut menyindir kritikan PPBM terhadap UMNO sebelum ini, di mana parti itu menuduh demokrasi dalam UMNO telah mati. Namun, kini PPBM sendiri mengambil pendekatan serupa apabila kedua-dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Nasib YB Azmin Ali dan DS Peja

Gulam juga menyentuh tentang nasib YB Azmin Ali dan DS Ahmad Faizal Azumu (Peja), yang menurutnya mengalami kemunduran politik dalam PPBM. YB Azmin, yang tidak lagi memegang peranan penting dalam PRK Mahkota, dan DS Peja, yang kini bertanding untuk jawatan Naib Presiden, dilihat berada dalam kedudukan politik yang merudum.

Gulam meramalkan DS Peja mungkin akan kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden, sementara YB Azmin tidak dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Dalam kenyataan tersebut, Gulam juga menyebut bahawa DS Rina Harun, penyandang jawatan Ketua Srikandi, menarik diri pada saat akhir daripada bertanding, menimbulkan spekulasi terdapatnya faktor tersembunyi di sebalik keputusan itu.

Drama Pemilihan PPBM: Akhir yang Bahagia atau Malang?

Gulam Muszaffar juga menyatakan bahawa pemilihan PPBM kali ini mungkin akan menjadi satu drama bersiri, di mana pelbagai konflik dan pertikaian dalaman akan muncul.

Beliau menyatakan bahawa ahli-ahli UMNO hanya perlu menunggu dan menonton bagaimana drama ini akan berakhir, sama ada dengan kegembiraan atau kesedihan bagi PPBM.

Beliau turut mengandaikan bahawa mungkin ada di kalangan ahli PPBM yang kelak akan kembali menyertai UMNO selepas drama pemilihan parti ini tamat.

Leave a Reply