KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2024 – Seramai 14 orang bakat muda dari kumpulan yang tercicir dalam pendidikan formal kini berpeluang melanjutkan latihan kemahiran tinggi di China dalam bidang Teknologi Automotif. Mereka merupakan lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan akan menjalani latihan intensif selama setahun di Tangshan Polytechnic University, China, dengan fokus kepada teknologi kenderaan hibrid dan elektrik.
Program ini adalah hasil kerjasama antara Malaysia-China Institute (MCI) yang diwujudkan di bawah inisiatif YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET). Tujuan program ini adalah untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dengan melibatkan kerjasama antarabangsa.
Ketua Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan, menyatakan bahawa pelajar-pelajar ini bukanlah daripada latar belakang akademik cemerlang, malah sebahagian besar tidak menamatkan pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Namun, mereka berjaya membuktikan bahawa laluan TVET mampu membuka peluang masa depan yang cerah, termasuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Ini adalah langkah besar untuk mereka. Selain mendapat penajaan penuh, mereka juga akan menerima elaun sara diri sepanjang tempoh latihan. Program ini menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) dengan kerjasama beberapa industri automotif terkemuka di China,” katanya.
Latihan selama setahun ini akan memberi penekanan kepada teknologi kenderaan elektrik, termasuk hybrid electric vehicles (HEV), battery electric vehicles (BEV), plug-in hybrid electric vehicles (PHEV), dan fuel cell electric vehicles (FCEV).
Menurut Mohammad Rizan, program ini turut mendapat sokongan daripada TANG International Education Group China dan dijangka lebih ramai pelajar TVET tempatan akan dihantar ke China dalam tempoh dua tahun akan datang. Setakat ini, seramai 1,776 pelajar telah menyertai latihan jangka pendek di bawah program Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT).
Langkah ini dijangka akan terus memperkukuhkan kerjasama Malaysia dan China dalam bidang TVET, seterusnya memberi peluang kepada lebih ramai belia yang tercicir dalam akademik untuk membina kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.