KUALA LUMPUR – Atas sambutan luar biasa yang diterima pada konsert Destiny of Music 1.0 pada Jun lalu, B De Paris Project tampil dengan Destiny of Music 2.0 yang akan berlangsung pada 15 November depan.

Bertempat di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, Selangor, konsert itu bakal dihangatkan dengan kehadiran empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page, dan Insomniacks.

Bakal menghiburkan penonton selama dua jam tanpa henti, konsert kali ini berbeza dari yang pertama kerana diadakan di luar kampus disamping menampilkan bakat-bakat anak muda yang kian menjadi kegilaan ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif B De Paris Project, Burhan Ahmad berkata, kejayaan edisi pertama telah memberi inspirasi untuk mereka meneruskan konsert ini sebagai platform yang memperkukuh kedudukan mereka dalam industri sambil menyokong perkembangan bakat tempatan.

“Konsert ini diadakan atas permintaan ramai penonton terdahulu yang mahu kami tampilkan lagi dengan pelbagai persembahan.

“Justeru, kami mahukan kelainan kali ini dengan menampilkan band pula. Manakala Masdo masih dikekalkan atas permintaan penonton yang tidak puas menyaksikan persembahan mereka,” katanya.

Burhan berkata, setiap band yang ditampilkan mempunyai keunikan mereka sendiri dalam persembahan.

“Akim & The Majistret, dengan lirik mendalam dan melodi yang epik, pasti akan menyemarakkan semangat penonton, sementara Kugiran Masdo akan menyuntik elemen retro-mod yang santai tetapi penuh karisma.

“Empty Page dan Insomniacks, dua band dengan sentuhan segar dalam genre alternatif, menambah variasi muzik yang lebih pelbagai. Ini menjadikan ia sebagai platform utama untuk meraikan kebangkitan muzik tempatan dengan penuh tenaga dan dinamik,” katanya lagi.

Harga tiket bermula serendah RM55 menjadikan konsert ini mampu dibeli oleh semua golongan, termasuk pelajar dan peminat setia yang mencari persembahan berkualiti pada harga berpatutan.

Tiket dijual pada harga RM55 (Silver), RM85 (Gold),  RM135 (Diamond), RM155 (Platinum), dan RM285 (VIP), peminat boleh memilih pengalaman muzik yang sesuai dengan selera mereka, termasuk akses eksklusif untuk VIP.

Konsert ini bukan sahaja kesinambungan daripada edisi pertama, malah menekankan kepentingan sokongan berterusan terhadap industri hiburan tempatan.

Konsert ini turut mendapat kerjasama Rakan Strategik Zai Sri Gemilang dan Rakan Media Rasmi Oh My Media.

Tiket kini boleh didapati di platform rasmi www.ticket2u.com.my.

By Cynthia

Leave a Reply