BAU, SARAWAK, 13 Oktober 2024 – Acara Larian Hari Kesihatan Mental 2024 yang pertama kali dianjurkan di SJK Chung Hua Bau berjaya menarik lebih 500 peserta yang bersatu hati untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan komuniti.
Acara ini mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, yang telah menyumbangkan RM20,000 melalui Persatuan Kebajikan Bau Care.
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk memastikan kelangsungan program dan aktiviti tahunan persatuan itu, sekali gus menegaskan komitmen dalam memperkukuhkan sumber kesihatan mental dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
“Larian Hari Kesihatan Mental ini bukan sekadar larian biasa. Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, para peserta turut menerima saringan kesihatan percuma untuk menilai kesihatan fizikal dan mental mereka,” ujar Mordi.
Acara tersebut juga menampilkan pelbagai perkhidmatan kesihatan tambahan seperti ujian pap smear percuma, derma darah, dan pemeriksaan pergigian. Di samping itu, beberapa booth maklumat didirikan dengan kerjasama pelbagai organisasi termasuk Klinik Pergigian Manna, OAPTAR (Pertubuhan Pencegahan, Rawatan, dan Pemulihan Ketagihan), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MCR), PERKESO, AMANITA (Peace Lady – PDRM), serta Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Perkhidmatan ini disediakan bagi meningkatkan kesedaran dan memberikan sokongan kepada kesihatan fizikal dan mental para peserta.
Di samping itu, acara ini turut memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk membuka gerai jualan, sekali gus menggalakkan sokongan terhadap perniagaan kecil di kawasan tersebut.
Mordi juga menekankan pentingnya untuk masyarakat berbicara secara terbuka mengenai isu kesihatan mental dan mengatasi stigma yang sering menghalang individu daripada mendapatkan bantuan. “Dengan sokongan semua pihak, kita boleh membentuk suasana yang lebih terbuka dan positif untuk menangani isu kesihatan mental,” tambahnya.
Kejayaan Larian Hari Kesihatan Mental 2024 ini bukan sahaja mencerminkan komitmen komuniti Mas Gading terhadap kesihatan mental, tetapi juga membuka peluang untuk inisiatif lebih besar pada masa akan datang.
Mordi turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua penaja dan pihak-pihak yang menyokong acara ini, termasuk Micklong Bridal Studio, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan acara tersebut.