KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2024 – Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI 2024), yang julung kali diadakan, menyaksikan pengumuman besar oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, mengenai inisiatif kewangan untuk memperkasakan koperasi komuniti India.
Dalam persidangan yang berlangsung di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, Ramanan mengumumkan peruntukan Tabung Modal Pusingan bernilai RM7 juta serta geran RM300 ribu khusus kepada koperasi komuniti India yang layak.
Persidangan PKKI 2024 dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai satu usaha untuk memperkukuh kedudukan koperasi komuniti India di Malaysia, selaras dengan visi Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang digagaskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya, Ramanan menyatakan bahawa KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah memperuntukkan dana sebanyak RM300 ribu kepada koperasi yang layak, dengan tujuan memperkasa koperasi komuniti India untuk terus aktif dalam memperkembangkan ekonomi komuniti.
Tambah beliau, dana ini akan memberi ruang kepada koperasi untuk terus memperkembangkan aktiviti ekonomi mereka, serta membantu meningkatkan mutu pengurusan dan tadbir urus koperasi tersebut.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cek bernilai RM7 juta kepada tiga koperasi yang terpilih sebagai koperasi terbaik. Koperasi Serbaguna Kebangsaan Berhad, Koperasi Guru-guru Tamil Negeri Sembilan Berhad, dan Koperasi Nesa Pelbagai Berhad menjadi penerima anugerah tersebut, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan mereka terhadap pengukuhan ekonomi komuniti India.
PKKI 2024, yang berlangsung sehari, memberikan peluang kepada para peserta untuk mendalami pengetahuan mengenai dasar-dasar kerajaan terkini yang berkaitan dengan koperasi. Peserta juga berpeluang mempelajari kisah kejayaan koperasi National Land Finance Co-operative Society (NLFCS) Berhad, yang diiktiraf sebagai koperasi premier bagi komuniti India.
Sehingga akhir 2023, terdapat 419 koperasi komuniti India dengan keanggotaan lebih 249,000 ahli, modal syer sebanyak RM619 juta, serta nilai aset mencecah RM1.7 bilion. Persidangan kali ini dihadiri lebih 800 peserta dengan 21 pempamer yang terdiri daripada agensi di bawah KUSKOP dan koperasi-koperasi.
Ramanan turut menegaskan bahawa kerajaan di bawah Kerajaan MADANI sedang giat memperkenalkan pelbagai inisiatif khusus untuk memperkasa ekonomi komuniti India. Antara program yang diumumkan termasuk BRIEF-i oleh Bank Rakyat, SPUMI Goes Big oleh TEKUN Nasional, PENN oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, dan i-BAP oleh SME Corp. Malaysia, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM136 juta.
“Ini adalah peruntukan tambahan terbesar yang akan memanfaatkan komuniti India dalam usaha kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi mereka ke tahap lebih tinggi,” kata Ramanan.
Dengan pengumuman ini, Ramanan berharap inisiatif kewangan yang disalurkan melalui KUSKOP akan memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi koperasi komuniti India di Malaysia.