KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2024 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini tampil menyatakan pendirian tegas berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Kewarganegaraan yang bakal dibentangkan di Parlimen. Isu ini telah menjadi topik perbincangan hangat di kalangan rakyat, dan PUTRA menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kesan jangka panjang terhadap kedaulatan negara.
Zarina binti Zainal Abidin, Ahli Dewan Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Undang-Undang Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. “Terdapat pelbagai aspek yang perlu diteliti dengan lebih mendalam. Jangan terburu-buru dan wajib teliti buruk baiknya dari aspek kedaulatan negara,” tegasnya.
Menurut Zarina, tindakan menerima atau menolak permohonan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan secara “membabi buta” tanpa mempertimbangkan kesan ke atas negara. Parti itu juga mengkritik kerajaan kerana dilihat terlalu mudah dalam memberikan kewarganegaraan berdasarkan kelahiran di Malaysia semata-mata, dengan memberi amaran bahawa keputusan tergesa-gesa boleh menimbulkan pelbagai masalah di masa hadapan.
Zarina turut mengingatkan tentang isu warganegara asing yang masih menetap di negara ini tanpa status yang jelas, khususnya merujuk kepada “1.2 juta warganegara rakyat negara China” yang menurutnya masih “berkeliaran” di Malaysia. PUTRA menyuarakan kebimbangan terhadap penambahan beban kepada negara jika tiada langkah teliti diambil.
Sebagai cadangan konkrit, PUTRA mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi meneliti isu kewarganegaraan ini dengan lebih telus dan objektif. Parti itu juga menggesa agar kajian semula dilakukan ke atas Perkara 14 dan Perkara 15 Perlembagaan Malaysia yang berkaitan dengan kewarganegaraan, memastikan kelompongan undang-undang yang ada dapat diperbaiki.
“Jangan jadikan Malaysia hub bagi mereka yang sekadar ingin mendapatkan status warganegara dengan mudah,” katanya. PUTRA turut menekankan bahawa rakyat Malaysia sudah muak dengan drama politik berterusan yang dilihat melonggarkan kepentingan negara demi kepentingan pihak-pihak tertentu.
Kenyataan ini turut menyatakan bahawa PUTRA, sebagai blok kuasa politik ketiga, sangat mementingkan integriti dalam semua hal berkaitan negara, dan menolak sebarang tindakan yang dilihat memperdagangkan kewarganegaraan negara untuk kepentingan sementara.
Akhir sekali, PUTRA memberi satu peringatan keras kepada kerajaan Madani, menegaskan bahawa rakyat akan bertindak sekiranya isu ini tidak ditangani dengan betul. “Jangan butakan mata, pekakkan telinga atau butakan hati terhadap isu serius ini. Kami sebagai pewaris asal tanah berdaulat ini tidak akan sesekali rela negara ini ‘dilacurkan’ semurah-murahnya,” ujar Zarina tegas.
PUTRA PERKASA NEGARA
BERSIH DAN BERINTEGRITI