PETALING JAYA, 15 Oktober 2024 – Pengguna kenderaan di Malaysia bakal menikmati perlindungan yang lebih kukuh dengan inisiatif terbaru melalui kerjasama strategik antara Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan institusi perbankan. Langkah ini dijangka akan mempermudahkan proses tuntutan tebus rugi bagi kenderaan bermotor yang rosak.
Inisiatif tersebut hadir sebagai penyelesaian kepada kesukaran pengguna yang sebelum ini menghadapi halangan untuk membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) akibat tafsiran pemilikan kenderaan di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212). Di bawah akta tersebut, kenderaan yang dibeli secara pinjaman dianggap sebagai milik bank sehingga pinjaman selesai, menyukarkan pengguna untuk membuat tuntutan apabila berlaku masalah pada kenderaan.
Bermula 2 September 2024, BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan pengguna mendapatkan surat persetujuan (consent letter) dari pihak bank, membolehkan mereka membuat tuntutan tebus rugi di TTPM bagi kenderaan baru yang rosak. Pihak bank juga diarahkan untuk menubuhkan unit khusus bagi memproses permohonan ini sebelum tarikh akhir 3 Disember 2024.
Selain itu, KPDN juga telah menubuhkan Pasukan Rundingan Khas untuk membantu menyelesaikan aduan pengguna berkaitan kenderaan bermotor. Sejak penubuhannya pada 1 Jun 2024, pasukan ini telah menerima 16 aduan, yang mana semua kes telah disiasat dan dirundingkan melalui rundingan tiga pihak antara KPDN, pembeli, dan pengedar kenderaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan bahawa dua strategi interim ini merupakan langkah penting dalam memberikan akses yang lebih adil dan berkesan kepada pengguna. “Kita sedang berada di fasa akhir kajian Lemon Law, dan KPDN dijangka memuktamadkan kerangka perundangan baru bagi melindungi hak pengguna kenderaan dalam masa terdekat,” kata beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat Carsome disini hari ini.
Lemon Law, yang sedang dikaji oleh KPDN, memberi hak kepada pembeli kenderaan dan produk pengguna lain untuk menuntut remedi seperti pembaikan, penggantian, pengurangan harga, atau pembayaran balik bagi barangan yang berulang kali rosak dan tidak memenuhi standard kualiti.
Setakat Ogos 2024, KPDN menerima 114 aduan berkaitan kenderaan baru dan 187 aduan berkaitan kenderaan terpakai. Kajian Lemon Law ini turut merujuk kepada amalan terbaik dari beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Filipina, dan Singapura untuk dijadikan panduan dalam penggubalan undang-undang baru di Malaysia.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law juga telah mengarahkan beberapa komponen tambahan kajian untuk diselesaikan menjelang November 2024. Pengguna Malaysia kini boleh menantikan perlindungan lebih baik apabila Lemon Law dilaksanakan sepenuhnya tidak lama lagi.