PETALING JAYA 15 Oktober 2024 – Kenaikan harga sayur yang berlaku sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan resah di kalangan pengguna.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengesahkan bahawa mereka sedang memantau situasi tersebut dengan teliti.

Menurut Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, mengumumkan bahawa kementerian akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menangani isu ini.

Beliau menegaskan bahawa perbincangan akan diadakan untuk memahami lebih lanjut mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga sayur dan mencari jalan penyelesaian yang berkesan, katanya ketika ditemui media di Pejabat Carsome disini hari ini.

“Sekiranya ada sebarang kenaikan harga, pergerakan harga, atau isu bekalan, kami akan memantau dan mengambil langkah yang diperlukan,” ujar Datuk Armizan. KPDN komited untuk memastikan rakyat tidak terjejas oleh keadaan ini, dan langkah-langkah intervensi akan diperkenalkan jika perlu.

Dalam perkembangan lain, menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negara, kementerian juga sedang mengambil langkah-langkah pencegahan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi. Datuk Armizan menjelaskan bahawa semua District Dedicated Retailers (DDR) dan District Dedicated Wholesalers (DDW) di setiap negeri telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kami telah melantik semua pihak yang terlibat dan membuat persiapan awal untuk memastikan bekalan tidak terputus kepada rakyat kita, terutama di kawasan yang terkesan atau dijangka terkesan dengan bencana banjir,” katanya.

Ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa KPDN berusaha untuk menjaga kestabilan harga dan memastikan bekalan makanan yang mencukupi sepanjang musim yang mencabar ini.

Leave a Reply