
KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2025 — Majlis Gig Malaysia (MyGig) di bawah pimpinan YB Datuk Sri Sharkar Shamsudin hari ini mengadakan mesyuarat jawatankuasa pertama selepas Mesyuarat Agung baru-baru ini, dengan menumpukan pelbagai isu utama membabitkan nasib dan kebajikan pekerja gig di seluruh negara.
Menurut Sharkar, MyGig kini menubuhkan lima biro baharu iaitu:
Biro Dasar & Penyelidikan,
Biro Tadbir Urus & Perundangan,
Biro Latihan & Pembangunan,
Biro Kebajikan & Perlindungan, serta
Biro Komunikasi & Libat Urus Industri.
“Kami telah mendengar pandangan daripada semua pemain industri — sama ada pemilik platform atau pekerja itu sendiri. Antara langkah segera ialah mengadakan sesi townhall bagi membincangkan isu-isu besar seperti lesen PSV, insurans, EVP dan kadar tambang yang perlu diseragamkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan penjelasan lanjut daripada Kementerian Kewangan berhubung pelaksanaan BUDI95, khususnya mengenai kuota petrol untuk pekerja gig.
“Sekiranya pekerja gig hanya menerima 600 liter semasa bekerja, itu belum mencukupi. Sepatutnya mereka menerima 900 hingga 1,000 liter sebulan — 600 liter untuk kegunaan kerja dan 300 liter lagi seperti rakyat lain,” jelas beliau.
Sharkar turut mendedahkan perancangan menubuhkan cawangan MyGig di setiap negeri bagi menangani perbezaan isu antara negeri. Beliau menegaskan kerajaan perlu tegas terhadap syarikat pemegang aplikasi luar negara yang gagal mematuhi undang-undang tempatan dan membahayakan keselamatan pengguna.
“Kita tidak mahu rakyat jadi mangsa bila berlaku kes rogol, samun atau gangguan seksual oleh pemandu yang tiada PSV atau insurans. Kerajaan mesti bertindak demi keselamatan rakyat,” katanya tegas.
Antara perkara lain yang dibincangkan termasuklah cadangan mewajibkan perlindungan PERKESO untuk semua pekerja gig, serta penyelarasan sijil kemahiran (SKM) bagi pengamal urutan dan refleksologi tempatan agar tidak ditindas berbanding pekerja asing.
Menariknya, MyGig juga akan menganjurkan “Appreciation Night” bagi menghargai sumbangan para pekerja gig di seluruh negara.
Suara OKU Penglihatan Disambut Baik Dalam Majlis Gig Malaysia
Sementara itu, Muhammad Hafiz bin Halim, Naib Yang Dipertua Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) turut memuji penubuhan Majlis Gig Malaysia yang disifatkannya sebagai platform inklusif buat komuniti OKU.
“Dengan adanya MyGig, komuniti OKU bukan sahaja dapat menyuarakan keperluan kami, malah berpeluang menyumbang dalam ekonomi negara,” katanya yang juga pegawai psikologi di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau menambah, melalui MyGig, OKU boleh mendapat latihan, penajaan serta peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran, termasuk refleksologi dan pengajaran Al-Quran oleh individu cacat penglihatan yang berkelayakan.
“Inilah makna sebenar inklusiviti dalam masyarakat – apabila suara kami didengari dan potensi kami diberi ruang untuk menyumbang,” ujarnya.
Majlis Gig Malaysia dijangka menjadi wadah penting memperkasa lebih jutaaan rakyat Malaysia dalam ekonomi gig, termasuk komuniti OKU, pekerja e-hailing, penghantar makanan, pengamal kesihatan alternatif dan banyak lagi sektor berkaitan.
#MyGigMalaysia #EkonomiGig #PekerjaGig #YBSharkarShamsudin #BUDI95n#OKUBoleh #InklusifMalaysia #PerlindunganPekerjaGig #MajlisGigMalaysia #SuaraRakyatGig