Kuala Lumpur, 16 Oktober 2024 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kini berada di Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemerhatian dan rawatan lanjut selepas mengalami batuk berpanjangan semasa prosiding saman fitnahnya terhadap Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada 14 Oktober 2024, Tun Mahathir hadir di Mahkamah bagi prosiding sambung bicara kes saman fitnah tersebut, yang turut dijadualkan berlangsung pada 16 dan 17 Oktober. Walau bagaimanapun, prosiding pada 14 Oktober hanya diteruskan sehingga waktu rehat tengah hari apabila Tun Mahathir mengalami batuk yang berlarutan, menyukarkan beliau untuk bercakap lama.
Peguam Tun Mahathir memaklumkan bahawa akibat keadaan tersebut, penangguhan prosiding bagi sesi petang dipohon dan dibenarkan oleh Mahkamah. Prosiding pada 15 Oktober juga tidak diteruskan kerana Yang Arif Hakim terlibat dengan urusan rasmi lain.
Pada petang 14 Oktober, Tun Mahathir memutuskan untuk mendapatkan rawatan di IJN setelah mendapati batuknya masih mengganggu. Pakar perubatan di IJN kemudian menasihatkan agar beliau dirawat dan berehat selama beberapa hari di institut tersebut.
Peguam Tun Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi, dalam satu kenyataan media pagi tadi, memaklumkan bahawa kes tersebut kini ditangguhkan dan dijadualkan semula pada 29, 30 Oktober serta 5, 6, dan 9 Disember 2024. Beliau juga menolak laporan yang mendakwa Tun Mahathir “dikejarkan” ke IJN, menyifatkan laporan itu sebagai sensasi dan tidak tepat.
Pihak media diminta merujuk kepada peguam Tun Mahathir untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan beliau serta perkembangan kes.
Tun Mahathir, yang kini berusia 99 tahun, telah beberapa kali menerima rawatan di IJN sebelum ini, namun dikatakan berada dalam keadaan stabil setakat ini.