Sungai Buloh, 15 Oktober 2024 – Kerajaan Madani sekali lagi melaksanakan inisiatif kesejahteraan rakyat dengan pelancaran program Deepavali @ Vanakam MADANI, yang menyaksikan pengagihan 10,300 bakul makanan kepada komuniti India golongan B40 di seluruh negara.

Program yang dilancarkan secara rasmi di Parlimen Sungai Buloh ini telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Lebih daripada 1,000 penerima dari kawasan tersebut hadir bagi mendapatkan bantuan, hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh dan Yayasan Bank Rakyat.

Menurut Dato’ Sri Ramanan, beliau menegaskan bahawa senarai penerima bantuan disusun berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui saluran pemimpin komuniti serta agensi kerajaan yang berkaitan, bagi memastikan bantuan ini sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Beliau turut mengumumkan bahawa selepas proses pengagihan selesai, senarai penuh penerima akan dipaparkan di portal Yayasan Bank Rakyat sebagai langkah memastikan ketelusan.

“Ini merupakan inisiatif ketujuh kerajaan yang berfokus kepada pemerkasaan masyarakat India, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI yang inklusif untuk manfaat semua komuniti di negara ini,” katanya.

Beliau juga berharap sentuhan kasih ini dapat membantu para penerima membuat persiapan sambutan Deepavali dengan lebih ceria.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan, termasuk persembahan lagu terkenal Macha-Macha oleh penyanyi Zubir Khan, yang turut disambut meriah oleh hadirin yang hadir.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Ramanan menekankan bahawa program ini adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif bantuan yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk masyarakat India, termasuk program TEKUN dan bantuan khas kepada usahawan wanita. Program ini bertujuan meringankan beban ekonomi golongan B40, khususnya menjelang perayaan besar seperti Deepavali.

Beliau turut mengiktiraf kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa komited terhadap kebajikan rakyat, serta usaha kerajaan untuk terus mendengar dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat.

Inisiatif ini juga menekankan prinsip ketelusan, di mana penerima bantuan akan disenaraikan secara terbuka di laman web Yayasan Bank Rakyat untuk memastikan akauntabiliti.

Selain itu, Vanakkam MADANI bertujuan meningkatkan keterlibatan komuniti dalam proses pengambilan keputusan, membolehkan suara rakyat didengar dengan lebih jelas.

Perasmian di Sungai Buloh ini hanyalah permulaan, dengan program ini dijangka meliputi seluruh negara menjelang perayaan Deepavali yang bakal tiba.

Leave a Reply