Kuala Lumpur, 24 Oktober 2024 – Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas skandal 1MDB yang berlaku ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Dalam kenyataan medianya yang dibacakan anakandanya Dato Nizar Datuk Sri Najib, walaupun beliau sedang menjalani hukuman selama 26 bulan, Najib menyatakan rasa kecewa dan kesal terhadap perkembangan 1MDB serta mengakui beliau tidak mengambil tindakan yang sepatutnya ketika isu ini mula dipersoalkan.

“Saya berasa amat terluka mengetahui bahawa skandal 1MDB berlaku di bawah pengawasan saya,” kata Najib. Beliau menegaskan bahawa walaupun telah dihukum, dirinya bukanlah dalang skandal tersebut dan tidak pernah bersekongkol dengan ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.

Merujuk kepada perbicaraan mahkamah di Switzerland yang melibatkan eksekutif PetroSaudi, serta artikel terbaru yang diterbitkan oleh The Edge, Najib menjelaskan bahawa PetroSaudi dan Jho Low telah berkomplot untuk memperdayakan beliau. Menurut Najib, beliau tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan secara tidak sengaja menerima wang daripada dana yang dihantar oleh 1MDB kepada syarikat tersebut.

Najib turut menegaskan bahawa beliau pada ketika itu mempercayai dana yang diterima merupakan sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi. “Saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai bahawa dana tersebut adalah sumbangan politik,” tambah Najib, sambil merujuk kepada dua sumbangan besar yang disahkan pada tahun 2010.

Namun, beliau mengakui bahawa apabila kebimbangan mengenai 1MDB mula timbul, beliau sepatutnya mengambil pendekatan yang berbeza dan bertindak lebih tegas. Walaupun siasatan telah dijalankan, Najib cenderung untuk mempercayai penjelasan daripada pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB pada masa itu. Apabila beliau mula curiga, kebimbangannya tertumpu kepada keadaan kewangan syarikat tersebut serta risiko terhadap hubungan diplomatik Malaysia.

“Walaupun saya telah dihukum atas tanggungjawab saya, jelas bahawa saya bukan dalang kepada skandal ini. Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang,” katanya. Najib juga menyuarakan kekesalannya terhadap apa yang berlaku dalam kes 1MDB dan SRC, namun menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk sesuatu yang tidak dimulakan atau disengajakan olehnya.

Najib Razak berharap dan berdoa agar keadilan akhirnya akan memihak kepadanya dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah dalam isu ini.

Leave a Reply