KUALA LUMPUR – Lima pereka fesyen telah dipilih dengan teliti untuk mewakili lima kelopak Bungolado. Dari Malaysia, terdapat duo Amazae yang terkenal dengan karya adi busana mereka, serta Farra Rahim, yang dihargai untuk rekaan tradisional kontemporari beliau.

Pengarah kreatif inisiatif Bungolado, Anuar Faizal turut terbabit, komited untuk memartabatkan seni etnik tanah air ke tahap yang lebih tinggi.

Malah, Anuar Faizal begitu mengutamakan penglibatan pelbagai pereka, baik tempatan mahupun antarabangsa, untuk mentafsir secara kreatif tenun Bungalado dalam rekaan adi busana mereka.

“Kita beri peluang kepada pereka berkarya sepenuhnya mengikut kreativiti masing-masing dengan konsep yang diberikan asalkan menggunakan fabrik Bungolado.

“Sebanyak 33 pasang diperagakan pada pameran CIMB Artober Art & Soul 2024 ini. Lebih menarik, tenun ini juga akan dibawa menjelajah ke beberapa negara sempena acara ‘Fashion Week’,” katanya.

Anuar Faizal berkata, pihaknya berharap tenun ini akan menjadi terkenal di seluruh dunia.

Bungolado adalah inisiatif Royal Sembilan yang diasaskan oleh Puteri Negeri Sembilan, Yang Amat Mulia, Tunku Puteri Jawahir, yang bertujuan untuk merayakan warisan budaya melalui seni.

Yang Amat Mulia menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam mempromosikan bunga negeri, iaitu bunga lada, atau lebih mesra dikenali sebagai “Bungo Lado” dalam dialek Nogori.

Inisiatif Bungolado ini bersedia untuk berkembang mekar di CIMB Artober Art & Soul 2024 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pemilihan Bungolado bertujuan untuk memupuk penghargaan yang mendalam terhadap keindahan semula jadi yang terdapat di rantau bersejarah ini.

Inisiatif yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah, dalam memberikan nafas baharu kepada seni Tenun, telah menjadi sumber inspirasi bagi Royal Sembilan untuk menghasilkan tenun tradisional Malaysia yang mengintegrasikan elemen kontemporari serta berkualiti tinggi.

Melalui usaha ini, Royal Sembilan tetap menghormati akar budaya sambil memupuk masa depan tenun warisan Malaysia.

Pada acara itu, Anuar Faizal juga berkolaborasi dengan Shany Ahmed, seorang artis dari Maldives, untuk koleksi Bungolado beliau.

Di peringkat antarabangsa, inisiatif ini telah mengundang Lenny Hartono dari Indonesia, yang terkenal atas kemampuan mengubah fabrik tradisional Indonesia menjadi karya yang moden, serta kepakaran beliau dalam reka bentuk perhiasan diri.

Ishi Jami, seorang usahawan berjaya dari Pakistan, turut menyumbang kepada inisiatif ini melalui jenama tempatan, iaitu Ishan Studio.

Ciptaan dari Ishiz Studio bukan sekadar fesyen tetapi ianya adalah satu pengalaman di mana setiap rekaan yang dihasilkan oleh artisan menonjolkan intipati ketukangan khas dari Itali.

Setiap ciptaan menceritakan kisah keanggunan, kecanggihan, dan ketelitian yang tiada tandingan.

Melalui usaha ini, Royal Sembilan berhasrat agar Inisiatif Bungolado dapat menggalakkan negeri-negeri lain di Malaysia dapat merayakan serta mempromosi kraf serta identiti budaya mereka, sekaligus mengangkat keistimewaan tenun buatan Malaysia yang penuh pesona.

By Cynthia

Leave a Reply