KUALA LUMPUR – Sebagai usaha memperkukuhkan penguasaan Matematik dalam kalangan pelajar sekolah menengah, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti tanah air, Bella Astillah, bekerjasama dengan PTTI bagi melancarkan kelas tuisyen Matematik dalam talian secara percuma selama sebulan.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pelajar Tingkatan 4 Batch 09 yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2026.

Program yang membawa tema Generasi Pandai Matematik itu dirangka bagi memastikan pelajar mempunyai asas yang lebih kukuh, meningkatkan tahap keyakinan mereka terhadap subjek berkenaan serta menggalakkan akses pendidikan berkualiti secara lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Fana, berkata pelaksanaan kelas percuma itu mencerminkan komitmen PTTI dalam memperluas ekosistem pembelajaran digital kepada pelajar di seluruh negara.

“Setiap pelajar berhak diberi peluang untuk belajar dengan adil dan berkualiti. Melalui OTC Matematik ini, PTTI menyasarkan seramai 20,000 pelajar Batch 09 SPM 2026 untuk memulakan persediaan awal dan membina asas Matematik yang kuat.

“Kami mahu menjadi rakan strategik pembelajaran yang sentiasa menyokong perkembangan generasi muda,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi beban kewangan kepada keluarga, sebaliknya perlu diakses secara sama rata oleh semua pelajar.

“Kita tidak mahu mana-mana pelajar tercicir hanya kerana kekangan kos tuisyen. Pendidikan berkualiti harus dapat dirasai semua pihak.

“Kerjasama bersama PTTI ini membuka ruang lebih besar untuk pelajar mempersiapkan diri ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

“Saya yakin dengan persediaan awal serta sokongan guru yang berpengalaman, pelajar kita mampu mencapai kecemerlangan dan menjadi generasi yang kompetitif,” katanya.

Pelancaran rasmi inisiatif itu berlangsung dalam suasana penuh semangat di IDCC Shah Alam menerusi program Roadtour Mula Awal Straight A SPM 2026 PTTI, yang menghimpunkan hampir 1,000 calon SPM dari seluruh negara.

Turut memeriahkan majlis ialah duta PTTI, penyanyi Iman Troye, yang hadir memberikan sokongan dan motivasi kepada pelajar.

Program kelas percuma ini dibuka khusus kepada 20,000 pelajar Batch 09 di seluruh Malaysia. Pelajar yang berminat boleh membuat pendaftaran melalui laman rasmi www.ptti.my.

By Cynthia

Leave a Reply