AMPANG – Yayasan PEKEMA di bawah Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Program ‘Charity BOX Yayasan PEKEMA’ pada Sabtu lalu sebagai salah satu daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PEKEMA.

Program Charity BOX Yayasan PEKEMA ini adalah satu inisiatif untuk menjenamakan semula dan memberikan nafas baharu kepada aktiviti-aktiviti kebajikan PEKEMA.

Program ini turut mendapat sokongan daripada anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Berhad (CADB), yang dengan sukacitanya menawarkan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi sepanjang perjalanan program ini.

Program yang julung kali diadakan itu menyumbangkan sebanyak RM40,900 kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Taman Seri Watan, Ampang, Selangor atau juga dikenali sebagai ‘Mesra Home’.

Daripada jumlah itu, peruntukan terbesar disalurkan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik premis rumah jagaan ini.

Pada masa sama, sebahagian sumbangan turut diberikan kepada 19 warga emas dan tidak dilupakan kepada lima penjaga.

Sebagai simbolik pelancaran sumbangan, setiap warga emas menerima cenderahati dalam bentuk “Gift BOX” oleh pihak Yayasan PEKEMA.

Yayasan PEKEMA turut menyantuni warga emas dengan melaksanakan aktiviti gotong royong yang turut disertai oleh wakil dari Yayasan PEKEMA, CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA) dan Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, Yayasan PEKEMA berharap program ini dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.

Katanya, warga emas adalah permata yang amat berharga, dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini, di mana Yayasan PEKEMA dapat melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA buat julung kalinya.

“Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan golongan warga emas, tetapi juga menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

“Hari ini, kita melihat satu usaha murni yang membabitkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk anak syarikat kami, Central Auto Distributors Bhd (CADB), yang telah berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk perjalanan program Charity BOX Yayasan PEKEMA.

“Insya-Allah progam ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Inilah contoh bagaimana kerjasama antara sektor korporat dan yayasan dapat mencipta impak yang lebih besar dalam usaha murni kita.

“Sebagai langkah pertama, kita berada di sini, di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, di mana kita memberi sumbangan kepada warga emas yang telah banyak berbakti kepada negara.

“Program ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi juga membabitkan aktiviti-aktiviti yang menyatukan kita semua dalam semangat gotong-royong dan kasih sayang.

“Penyerahan cek sumbangan sebanyak RM20,000 kepada pihak pengurusan rumah jagaan, pemberian wang tunai, serta Gift BOX kepada warga emas di sini adalah sedikit tanda penghargaan dari kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi CADB, Dato’ Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin berkata, beliau amat berbesar hati dan berasa sangat teruja kerana diberi kesempatan untuk menjadi pembekal kenderaan rasmi Dongfeng BOX bagi Program Charity BOX yang dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi kami, dan kami melihat ini sebagai peluang yang sangat bermakna untuk turut serta dalam usaha murni menyantuni golongan warga emas yang telah banyak berjasa kepada masyarakat.

“Kami percaya bahawa dengan menyumbangkan kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan, kami dapat memberikan sokongan kepada program ini dari segi logistik, sekaligus memastikan perjalanan program ini berjalan dengan lancar dan selesa.

“Ini adalah salah satu cara kami untuk menyumbang kepada komuniti, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.

“Ini bertepatan juga dengan salah satu tema utama kenderaan ini yang membawa mesej kasih sayang “BOX of Love”.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan program, tetapi juga dapat memperkukuh lagi hubungan antara CADB dan Yayasan

PEKEMA dalam mencapai matlamat kebajikan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu berkata, Yayasan PEKEMA merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA ini, khususnya kepada CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA, serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha ini, untuk memastikan kebajikan warga emas sentiasa terbela, dan mereka terus menerima kasih sayang yang selayaknya,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply