Pemuda UMNO: Selarasan Waktu Bekerja Tidak Adil untuk Pekerja Syif
Kuala Lumpur, 22 November 2024 – Pemuda UMNO Malaysia, menerusi kenyataan Datuk Dr. Akmal Saleh, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan menyelaraskan waktu bekerja sektor awam daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu. Keputusan ini diumumkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menurut Dr. Akmal, dasar baharu ini bakal memberi impak besar kepada kakitangan sektor awam yang bekerja secara syif, terutamanya dalam sektor keselamatan dan kesihatan. Golongan ini yang sering digelar “frontliner” sudah pun berdepan cabaran berat dalam menjalankan tugas mereka, termasuk bekerja tanpa henti pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Langkah meningkatkan waktu bekerja ini bukan sahaja menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pengorbanan mereka, malah ia berisiko menambah tekanan fizikal dan mental kepada mereka yang telah sedia terdedah kepada risiko burnout,” tegasnya.
Dr. Akmal juga menekankan bahawa pekerja syif menghadapi realiti yang berbeza daripada mereka yang bekerja dalam waktu pejabat biasa. Selain tekanan fizikal dan mental yang tinggi, pekerja syif juga kehilangan hak kepada cuti umum dan berdepan dengan waktu kerja yang tidak menentu. Justeru, keputusan ini dilihat sebagai satu ketidakadilan kepada golongan tersebut.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan untuk meneliti semula keputusan tersebut dengan mempertimbangkan beberapa cadangan konkrit:
- Kekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi pekerja syif, dengan pampasan atau cuti gantian kepada mereka yang bertugas pada cuti umum.
- Memperkenalkan polisi kiraan jam setara yang mengambil kira waktu kerja di luar waktu biasa, contohnya dengan mengira setiap jam bekerja selepas jam 5 petang sebagai 1 jam 20 minit.
- Mengiktiraf waktu rehat sebagai sebahagian waktu bekerja bagi penjawat awam syif, bagi memastikan jumlah waktu bekerja mereka mencapai kesaksamaan dengan penjawat awam waktu biasa.
- Melibatkan wakil pekerja dalam pembuatan dasar, untuk memastikan kebajikan mereka terjamin dan produktiviti kekal tinggi.
Pemuda UMNO Malaysia berpandangan bahawa kebajikan pekerja sektor awam adalah kunci kepada keberkesanan perkhidmatan awam, terutama dalam usaha membangunkan negara. Justeru, kebajikan dan produktiviti mereka mesti menjadi keutamaan dalam sebarang keputusan dasar yang melibatkan perubahan besar seperti ini.
Dr. Akmal turut menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja sektor awam. “Kami akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk memastikan suara pekerja syif didengari dan dihormati,” katanya mengakhiri kenyataan.
Keputusan kerajaan ini, jika tidak dikaji semula, boleh membawa implikasi negatif terhadap keberkesanan sistem perkhidmatan awam. Pemuda UMNO Malaysia berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk memastikan kesejahteraan pekerja sektor awam tidak terjejas.