KUALA LUMPUR – Terus mengorak langkah dan melebarkan perniagaannya, Usanita Sdn Bhd, melalui cabang terbarunya, Usanita Entertainment, dengan bangga mengumumkan pelantikan aktor terkenal, Fattah Amin, sebagai Duta Eksklusif serta bintang muda berbakat, Sophia Albarakbah, sebagai Wajah Baharu bagi tahun 2025.
Pelantikan itu bukan sahaja menandakan kemajuan syarikat, tetapi juga komitmen berterusan Usanita dalam memajukan industri kreatif tempatan dan membawa bakat Malaysia ke persada antarabangsa.
Sebagai langkah pertama yang menarik, Usanita Entertainment akan mempersembahkan drama bersiri pertama mereka, yang akan diarahkan oleh sutradara tersohor, Erma Fatima.
Drama ini bakal menampilkan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah sebagai teraju utama, dan akan ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok Usanita.
Tontonan drama ini pastinya menjanjikan pengalaman baru yang menarik kepada peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, pelantikan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah, serta penerbitan drama bersiri pertama ini, membuktikan kesungguhan mereka untuk memperkasa industri seni tempatan dengan gabungan seni kreatif dan teknologi digital.
“Usanita Entertainment bertujuan untuk mempromosikan seni Malaysia dan memperkukuhkan hubungan industri kreatif dengan masyarakat global,” katanya.
Selain itu, Usanita juga mengumumkan kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0, yang akan diadakan di Oxford, London pada Februari 2025.
Program ini bertujuan untuk merangsang perbincangan bermakna mengenai kepimpinan dan keusahawanan sosial.
Ini juga akan mencipta sejarah dengan Datuk Adzliana menjadi wanita pertama yang menganjurkan sesi townhall di Oxford.
“Bridge to Brilliance 3.0 adalah platform penting untuk menghubungkan pemimpin dan usahawan sosial dari seluruh dunia, mencetuskan idea-idea baharu yang berpotensi membawa perubahan positif di peringkat global,” katanya lagi.