KUALA LUMPUR – Dunia seni mempertahankan diri, khususnya silat, kembali diperkasakan dalam industri perfileman Malaysia menerusi filem terbaru, Strike: Silat Cult Master.

Naskhah ini adalah sebuah karya yang menggabungkan aksi silat dengan elemen fiksyen moden, menawarkan kelainan dalam genre filem aksi yang semakin popular.

Penerbit dan pengarah filem ini, Mallory Lee, menjelaskan bahawa Strike: Silat Cult Master tercetus daripada inspirasi permainan video arked pertempuran yang terkenal pada era 90-an.

“Jalan ceritanya cukup ringkas, namun saya lebih fokus kepada babak-babak aksi pertarungan. Saya yakin ia mampu menarik minat penonton filem aksi,” kata Mallory, yang turut berperanan sebagai pengarah filem ini.

Filem ini mengisahkan tentang dunia pertarungan bawah tanah (underground) yang berlatarkan kisah seorang lelaki yang mencari pembunuh ibunya dan bergabung dengan sekumpulan individu untuk menentang sebuah kumpulan yang kejam.

Gabungan elemen seni mempertahankan diri silat yang penuh dengan kehebatan dan sejarah, menjadikan filem ini sesuatu yang unik dan menarik.

Mallory berkata, memilih silat sebagai seni mempertahankan diri yang diangkat dalam filem ini adalah untuk mempromosikan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Silat mempunyai unsur heroik yang kuat dan kaya dengan sejarah. Ini memberikan kelebihan berbanding seni mempertahankan diri lain.

“Seperti filem Hong Kong ia sinonim dengan Kung Fu, saya mahu Silat dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Mallory juga berharap Strike: Silat Cult Master akan membuka lembaran baru dalam filem aksi Malaysia.

“Ini bukan sekadar filem seni mempertahankan diri, tetapi usaha untuk memperkenalkan satu trend baru dalam industri perfileman tempatan yang juga mampu memartabatkan silat di pentas antarabangsa,” tambahnya.

Strike: Silat Cult Master akan ditayangkan di pawagam pada 13 Februari 2025, dan menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Aiman Ameer, juara Hero Remaja 2023, Azri Safix (finalis Hero Remaja), dan Fify Azmi.

Turut berlakon dalam filem ini adalah Jay Iswazir, Trisha Ooi, dan Ayez Shaukat, yang dikenali sebagai penggusti tempatan.

Dengan gabungan elemen aksi yang mendebarkan dan seni mempertahankan diri yang kaya dengan budaya, Strike: Silat Cult Master diharapkan dapat mencipta fenomena baru di kalangan peminat filem aksi tempatan dan antarabangsa.

SINOPSIS

Strike: Silat Cult Master mengisahkan tentang Izra (Aiman Ameer) sewaktu kecil terpaksa melarikan diri daripada Abil (Jay Iswazir) ketua kumpulan samseng yang turut bertindak membunuh ibunya, Salmah (Trisha Ooi).

Semasa melarikan diri, Izra turut membawa sekali seutas loket misteri pemberian ibunya. Kemudian, dia telah diselamatkan oleh Tok Rahmat yang akhirnya telah menjadi guru silatnya.

Setelah dewasa, dia pergi mencari Abil untuk membalas dendam atas kematian ibunya. Semasa pencarian berkenaan, dia telah bertemu dengan beberapa individu lain yang turut mahir dalam silat dan mereka bergabung untuk menumpaskan Abil.

By Cynthia

Leave a Reply