oplus_4194304

KUALA LUMPUR, 13 Januari 2025 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan serius berhubung penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihak asing. Presiden PERKASA, Syed Hassan Ali, menyatakan bahawa langkah tersebut bukan sahaja merugikan pencarum institusi seperti KWSP, KWAP, dan PNB, tetapi juga menimbulkan persoalan besar mengenai pengurusan aset strategik negara.

“Kami mendapati hampir RM900 juta telah hilang dalam masa beberapa bulan. Sebagai contoh, KWSP menjual saham MAHB pada harga RM5.40 hingga RM7.36 pada tahun 2023 tetapi membeli kembali dengan harga RM11. Ini adalah keputusan yang sangat pelik dan tidak masuk akal,” ujar Syed Hassan dalam sidang media selepas mesyuarat meja bulat NGO itu.

Beliau juga menegaskan terdapat kemungkinan campur tangan “tangan-tangan ghaib” dalam keputusan ini. “Orang dalam KWSP bukanlah bodoh, mereka berpendidikan tinggi dan berkelayakan. Jadi, keputusan ini pastinya dipengaruhi oleh arahan pihak tertentu,” katanya.

Menurut Syed Hassan, langkah ini memberi kesan negatif kepada pencarum apabila dividen yang diperoleh lebih rendah daripada yang sepatutnya. “Dividen yang diumumkan baru-baru ini sepatutnya lebih tinggi jika kerugian ini tidak berlaku. Kita kecewa pemimpin kerajaan hari ini langsung tidak bersuara mengenainya,” tambah beliau.

Sebagai tindakan susulan, PERKASA akan menghantar memorandum kepada pihak berkepentingan seperti KWSP, KWAP, PNB, Khazanah Nasional, dan MAHB pada Jumaat ini. Penyerahan memorandum akan dilakukan di Ibu Pejabat Khazanah di bangunan UEM, KL Sentral.

Syed Hassan turut menyeru pencarum dan rakyat Malaysia untuk turut hadir bagi menyatakan solidariti. Beliau menjelaskan bahawa kumpulan ini tidak akan berhimpun secara besar-besaran tetapi akan hadir dalam kumpulan kecil.

Dalam pada itu, PERKASA juga mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk bertindak lebih tegas dengan memanggil semua pihak berkaitan untuk menjelaskan isu ini.

“Kami NGO akan terus memantau dan memastikan pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal ini. Pencarum berhak tahu ke mana wang mereka disalurkan dan mengapa keputusan-keputusan tidak wajar seperti ini dibuat,” tegas Syed Hassan.

Penjualan saham MAHB yang didakwa akan membawa kepada nyah senarai syarikat tersebut daripada Bursa Malaysia mencetuskan kebimbangan terhadap kedaulatan ekonomi negara dan kebajikan pencarum institusi pelaburan tempatan.

Leave a Reply