PETALING JAYA – Kepercayaan terhadap harimau jadian, makhluk mitologi yang dipercayai wujud hasil amalan ilmu hitam, cukup kuat dalam kalangan masyarakat Melayu zaman dahulu.

Menariknya, kepercayaan ini menjadi sumber inspirasi kepada syarikat produksi Lil Studios Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem thriller, Limbungan: Tragedi Hitam 1975.

Pengarah filem ini, Fazli Yasin, berkata, filem ini mengajak penonton untuk menyelami dunia mitos harimau jadian, sekaligus membawa mereka ke dalam latar belakang konflik pembangunan di sebuah kampung pada era 1970-an.

“Sejak kecil lagi, saya sering melukis makhluk-makhluk mitologi Melayu, termasuk harimau jadian.

“Filem ini adalah salah satu cara saya menzahirkan minat dan cinta terhadap seni dan mitologi Melayu,” katanya.

Limbungan: Tragedi Hitam 1975 mengisahkan tentang Ramli dan Malik yang dihantar ke Kampung Limbungan untuk menyelesaikan projek yang terbengkalai.

Namun, mereka tidak menyangka akan diserang oleh harimau jadian yang menakutkan, memaksa mereka bergelut untuk terus hidup.

Filem ini menampilkan Amerul Affendi dan Kodi Rasheed sebagai watak utama, selain pelakon-pelakon lain seperti Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim, Zainal Isa, Nor Albaniah, Chacha Maembong dan Azan Addin.

Fazli berkata, kisah harimau jadian ini sebenarnya pernah dicatatkan oleh Sir Hugh Clifford, Residen Pahang yang berkhidmat dari 1896 hingga 1903.

Dalam catatan berkenaan, terdapat kisah serangan harimau jadian terhadap sebuah keluarga.

“Harimau jadian ini adalah pengamal ilmu hitam yang membuat perjanjian dengan iblis, dan hanya meminum darah mangsanya, bukan memakan mereka sepenuhnya.

“Elemen-elemen ini digambarkan dalam filem ini, bersama kisah sejarah projek hidroelektrik di Tasik Kenyir pada tahun 1975,” katanya.

Berkongsi cabaran besar dalam pembikinan filem ini, Fazli berkata, adalah mencari lokasi yang sesuai.

“Kita perlu mencari kawasan dengan bentuk muka bumi berbatu, berair, serta pohon-pohon besar.

“Namun, kerana kos yang tinggi untuk penggambaran di hutan sebenar, kami terpaksa membina set hutan buatan yang besar,” katanya.

Selain itu, mereka juga perlu menghasilkan kostum harimau jadian yang realistik dan Fazli mencipta tujuh versi kostum sebelum memilih yang terbaik.

Fazli juga bersyukur apabila filem ini bebas potongan 100 peratus daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Setelah menjalani penggambaran pada Februari 2024, Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 6 Februari 2025.

SINOPSIS

Limbungan mengisahkan Ramli dan Malik, dua pekerja Syarikat Maju Jaya, yang dihantar ke Kampung Limbungan pada tahun 1975 untuk menyelesaikan rundingan tanah bagi pembinaan stesen hidroelektrik.

Namun, penduduk kampung enggan melepaskan tanah warisan mereka, tambahan pula kampung itu dihantui harimau jadian yang muncul setiap kali gerhana bulan berdarah.

Ketibaan Ramli dan Malik pada masa yang salah membawa mereka ke dalam konflik getir, di mana mitos dan realiti bersatu dalam suasana penuh ketegangan.

By Cynthia

Leave a Reply