KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini giat melaksanakan usaha menaik taraf kawasan pelancongan di ibu kota bagi meningkatkan keselesaan pelancong.

Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur, Lai Chen Heng berkata, antara kawasan yang menjadi tumpuan utama adalah Brickfields, Jalan Alor, Bukit Bintang dan yang paling utama, Petaling Street.

“Inisiatif ini sejajar dengan peranan jawatan saya sebagai ahli penasihat dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut memberi fokus kepada pembangunan pelancongan di Kuala Lumpur.

“Tahun ini dianggap penting memandangkan Asia Summit yang bakal diadakan pada tahun depan, serta Tahun Melawat Malaysia yang semakin hampir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 anjurannya bertempat di kawasan tempat letak kereta Pasar Awam Jalan Prima Setapak, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah  Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN merangkap bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, Pengerusi SwCorp, Hee Loy Sian, Adun Bukit Antarabangsa, ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin; ADUN Kajang, David Cheong Kian Youn serta Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Lai yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju berkata, dalam usaha mencapai matlamat berkenaan, pelbagai program telah dilancarkan untuk menaik taraf tempat-tempat pelancongan di Kuala Lumpur, termasuk pembersihan kawasan serta penguatkuasaan terhadap gerai haram dan warga asing yang beroperasi tanpa izin.

“DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur juga telah mengadakan lawatan ke Petaling Street untuk merancang perubahan yang akan dilakukan.

“Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah seni lukisan dinding (wall painting) dan mural yang bertujuan memperindah kawasan terbabit, sekaligus memberi pengalaman unik kepada pelancong,” katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa menyokong usaha menaik taraf ini yang dianggap sebagai langkah positif bagi memajukan sektor pelancongan di Kuala Lumpur.

By Cynthia

Leave a Reply